Separuh Kanak-Kanak Afghanistan Keciciran Sekolah

1673

Hampir separuh kanak-kanak di Afghanistan tidak bersekolah kerana keadaan keselamatan yang semakin buruk, kemiskinan dan diskriminasi jantina, menurut laporan baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Bilangan kanak-kanak yang keciciran sekolah berada pada tahap tertinggi sejak 2002, setahun selepas tentera antarabangsa diketuai Amerika Syarikat menyingkirkan Taliban, yang melarang budak perempuan daripada bersekolah.

Budak perempuan kekal menjadi golongan paling berkemungkinan tidak mendapat pendidikan rasmi, merangkumi 60 peratus daripada 3.7 juta kanak-kanak berusia antara tujuh dan 17 tahun yang tidak bersekolah.

Perangkaan itu meningkat sehingga 85 peratus di beberapa wilayah paling teruk terjejas, mencerminkan diskriminasi jantina yang masih berleluasa di beberapa bahagian negara itu.

Perkahwinan kanak-kanak dan kekurangan guru wanita menjadi faktor tambahan yang menjadikan budak perempuan tidak ke sekolah.

Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) juga menganggarkan sehingga 300,000 kanak-kanak berisiko keciciran sekolah sebelum akhir tahun ini.

Kanak-kanak paling berisiko menetap di kawasan pedalaman dan berhadapan kehilangan tempat tinggal, keadaan keselamatan tidak menentu dan kekurangan kemudahan persekolahan. – AFP