Velodrom Dungun; Pecah Tanah 2010, Letak Batu Asas 2018, Siap?

4602
Majlis Pecah Tanah Projek Velodrom Dungun pada tahun 2010

Pada 5 Ogos 2010 Menteri Belia dan Sukan ketika itu Ahmad Shabery Cheek berkata Velodrom Mini yang akan dibina di Kampung Balai Besar, Dungun, Terengganu bakal dinamakan sempena nama jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang seandai atlit idola itu berjaya meraih pingat emas acara lumba basikal pada Sukan Olimpik 2012. 

Beliau berkata, selepas cadangan lokasi awal pembinaan velodrom itu mendapat bantahan penduduk, rakyat Terengganu akhirnya berpeluang memiliki prasarana sukan berkelas antarabangsa di daerah ini yang akan dibina di atas tapak seluas 12 hektar bernilai RM3 juta dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

Pada 10 April, 2011, Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta mengkaji semula kos pembinaan velodrom mini di Dungun yang dikatakan terlalu tinggi sehingga mencecah RM36 juta.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata, kerajaan negeri dan MSN hanya mencadangkan anggaran peruntukan RM3.5 juta setimpal dengan peranan kemudahan itu kelak.

Katanya, anggaran kos oleh JKR dilihat amat tinggi bagi membina sebuah velodrom yang dirancang sebagai pusat latihan selain boleh veneu untuk pertandingan peringkat tempatan.

Pada April 13, 2011 Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata beliau sendiri pun terkejut membaca laporan akhbar yang mengatakan kos pembinaan projek berkenaan terlalu tinggi hingga hingga mencecah RM36 juta.

“Kerajaan negeri akur dengan keputusan agar JKR mengemukakan pelan baru yang sesuai dengan kos cadangan pembinaan velodrom tersebut yang dianggarkan RM3.5 juta saja,” katanya kepada pemberita petang kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, baru-baru ini bahawa kerajaan negeri dan MSN hanya mencadangkan anggaran peruntukan RM3.5 juta setimpal dengan peranan kemudahan itu kelak.

Pada 29 Februari 2012, Kerajaan negeri Terengganu membelanjakan kira-kira RM1.5 juta untuk kerja pembersihan tanah seluas kira-kira lapan hektar bagi tujuan pembangunan sebuah velodrom berbasikal trek baru di kampung Balai Besar, dekat sini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sekiranya velodrom itu siap dibina, ia bakal menjadi yang pertama seupamanya di Terengganu dan yang ketiga di negara ini selepas velodrom di Ipoh, Perak dan di Cheras, Kuala Lumpur.
 
“Urusan pembersihan tanah untuk pembinaan velodrom ini sedang diuruskan oleh JKR (Jabatan Kerja Raya) Terengganu dan kini kira-kira 20 peratus daripada kawasan itu telahpun siap dibersih,” katanya kepada Bernama

Pada 17 Oktober, 2012, Kerajaan negeri Terengganu mungkin melihat model velodrom di Melbourne, Australia sebelum memutuskan reka bentuk pembinaan velodrom lumba basikal bernilai RM3 juta di Kampung Balai Besar, Dungun.
   
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib berkata kemungkinan pihaknya akan melakukan lawatan ke Melbourne untuk melihat secara dekat velodrom di negara itu sebelum mengambil ketetapan.
   
Buat masa ini, kerajaan negeri sedang dalam proses perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai reka bentuk velodrom yang akan dibina, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco negeri di sini, hari ini.
   
“Kita diberi peruntukan RM3 juta…ia sangat sedikit dan peruntukan tambahan diperlukan. Mungkin kita bina velodrom asas sebelum kemudahan lain ditambah secara berperingkat,” katanya.

Pada 3 Oktober 2013, Minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan sebab-sebab pembinaan sebuah velodrom di Parlimen Dungun belum dimulakan sehingga sekarang dan apakah perancangan berkaitan seterusnya.

Pada sidang parlimen beliau berkata, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pembinaan Velodrom di Parlimen Dungun adalah di bawah pemantauan dan pelaksanaan Kerajaan Negeri Terengganu. 

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia hanya membina sebuah Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan. Status semasa ialah Tender Pra-Kelayakan telah tutup pada 30 Julai 2013. Pelawaan kepada petender yang berjaya pada penghujung Oktober 2013.

Pada 10 Mac, 2014, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang Cikgu Alias Harun melahirkan rasa hairan kerana, cadangan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mendirikan sebuah Velodrom di Kampung Balai Besar dekat sini masih belum ditepati.

Beliau bekata, sehingga semalam Ahad 9 Mac, masih belum ada tanda-tanda projek dimulakan, walaupun cakap-cakap untuk membinanya telah kedengaran sejak tahun 2009 lagi.

Katanya, beliau turut dimaklumkan sebanyak RM1.5 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri Terengganu bagi menyiapkan tapak, stadium yang dilaporkan hanya bernilai RM3.5 juta sahaja.

Pada 4 Disember, 2015, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata pembinaan velodrom berbasikal bertaraf antarabangsa di Dungun tertangguh kerana masalah peruntukan kewangan yang berpunca daripada perubahan pelan reka bentuknya.

Beliau berkata pada peringkat awal kelulusan sebanyak RM2 juta telah diluluskan, namun perubahan pada reka bentuk menyebabkan peruntukan itu tidak mencukupi kerana ia memerlukan peruntukan tambahan yang dianggarkan sebanyak RM8 juta.

“Peruntukan asal dipohon bagi membina sebuah velodrom yang hanya digunakan sebagai tempat sesi latihan kepada pelumba basikal.

“Namun selepas dibuat justifikasi perincian oleh pihak teknikal terutamanya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lain-lain, velodrom ini akan dibina lebih berprestij bagi membolehkan kejohanan peringkat negeri mahupun kebangsaan dapat diadakan di situ,” katanya.

Rozi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-Telemong berkata demikian pada sesi soal jawab bagi menafikan soalan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) bahawa pembinaan velodrom tidak akan diteruskan dan kononnya akan digantikan dengan mini stadium.

Ketika ditemui pemberita di luar sidang DUN, Rozi menjelaskan pembinaan velodrom berkenaan akan tetap diteruskan apabila mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM10 juta oleh kerajaan persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kelak.

“KBS telah bersetuju menerusi Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) daripada peruntukan RM2 juta dinaikkan kepada RM10 juta. Apabila melibatkan peruntukan tambahan, kita terpaksa memohon semula kepada pihak MOF (Kementerian Kewangan) untuk disenaraikan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11)”.

Pada 6 Ogos 2016, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata Kerja pembinaan Velodrom Mini di Dungun yang dirancang sejak beberapa tahun lalu, akan dimulakan tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata velodrom bernilai kira-kira RM3 juta itu akan dibina di atas tanah seluas 12 hektar di Kampung Balai Besar dan dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

Pada 18 Ogos 2016, PAS menggesa pihak berkuasa untuk mempercepat penyiapan velodrom berbasikal di Dungun secepat mungkin.

Parti itu menyeru kerajaan Terengganu serta Kementerian Belia dan Sukan untuk mempercepat penyempurnaan velodrom seperti yang dijanjikan, mengikuti usaha gangsa Azizulhasni Awang dalam Olimpik Rio yang sedang berlangsung.

29 Oktober 2017, Mesyuarat Penyelarasan RMKe-11 Bil 5/2017 menyatakan Projek Pembinaan Velodrom di Dungun, Terengganu dan Projek Kompleks Sukan Hulu Terengganu telah dipengerusikan oleh Pegawai Kemajuan Negeri, YBhg. Dato’ Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri YB. Dato’ Haji Rozi bin Haji Mamat dan juga pegawai-pegawai dari Jabatan/Agensi yang berkenaan. Pegawai Seksyen Pemantauan dan Penilaian bertindak selaku urusetia bagi mesyuarat ini.

Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan isu-isu perancangan dan pelaksanaan Projek Pembinaan Velodrom di Dungun, Terengganu dan Projek Kompleks Sukan Hulu Terengganu. Agenda mesyuarat ialah pembentangan laporan dan taklimat status pelaksanaan dan isu/masalah projek tersebut oleh wakil-wakil yang berkenaan.

Pada 15 Januari 2018 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, YB. Cikgu Alias Harun berkata,Mini Velodrom Rakyat yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ke-13 lalu, masih belum menampakkan sebarang pembinaan, walaupun sesi Dewan akan tamat tidak lama lagi.

Beliau berkata, majlis pecah tanah telah diadakan pada Disember 2010, dengan Menteri Belia Dan Sukan ketika itu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, merasmikannya.

“dan disaksikan oleh ADUN Rantau Abang ketika itu, Datuk Haji Za’abar bin Dato’ Mohd Adib, dicadangkan oleh kerajaan negeri ketika itu……..peruntukan pembinaan velodrom ini bernilai RM35 juta,” terang beliau.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kawasan tapak cadangan membina velodrom tersebut di Kampung Balai Besar, di pada Ahad, 14 Januari.

Pada 29 Mac, 2018, Menteri Belia dan Sukan, Khairi Jamaludin berkata, Velodrom berbasikal negeri Terengganu bernilai RM 12 juta yang akan dibina tidak lama lagi akan dinamakan sebagai Velodrom Azizul Hasni Awang.

Nama itu ditetapkan sempena mengenang jasa jaguh berbasikal bertaraf dunia yang berasal dari Dungun itu dan membangkitkan semangat supaya sukan berbasikal berterusan melakar kecemerlangan.

Beliau berkata, Velodrom tersebut akan dibina mengikut piawaian antarabangsa.

“Dari segi spesifikasi teknikalnya Velodrom ini akan mempunyai trek utama sepanjang 333 kilometer.

“Rekabentuk diambil dari rekaan “roubaix” yang membolehkan laluan masuk dari lebuhraya terus ke velodrom.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melihat rekabentuk yang terbaik untuk membolehkan perlumbaan dari lebuhraya tamat di dalam velodrom,”katanya selepas menyempurnakan acara meletak batu asas tapak velodrom berkenaan, di Balai Besar,

Beliau berkata, pembinaan projek berkenaan dijangkakan siap pada penghujung 2019.