Terengganu, Malaysia
Kenyataan Media

Tindakan JPMK dan Kedutaan keatas pelajar

ILMAM Kesal tindakan tidak berasas

Tindakan JPMK dan Kedutaan keatas pelajarPertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) mengecam tindakan pegawai JPMK dan Kedutaan Malaysia di Kaherah Mesir yang didakwa menjadi dalang di sebalik kes seorang mahasiswa Mesir yang menuntut di IPT di Mesir dibuang daripada pusat pengajian tersebut kerana mengetuai perhimpunan aman BERSIH pada 9 Julai lalu di kawasan penempatan pelajar sekitar Kaherah.

Turut terkilan, selain itu, para mahasiswa yang menyertai perhimpunan tersebut juga diugut dengan pelbagai perkara seperti akan ditarik zakat yang menjadi hak mereka, disekat pinjaman walaupun pelajar hanya meminjam dan pelbagai lagi ancaman yang diberikan oleh pegawai yang tidak bertanggungjawab tersebut.

ILMAM melihat tindakan tersebut adalah tidak berasas sama sekali kerana para mahasiswa mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka dan mereka tidak melakukan sebarang perkara yang dapat mengancam keselamatan negara lebih-lebih lagi mereka berada di luar Malaysia.

Tindakan pegawai yang langsung tidak mahu berbincang dengan mahasiswa tersebut seperti yang dilaporkan juga menunjukkan sikap tidak profesional dan tidak beretika kerana tugas mereka sebenarnya adalah untuk memudahkan urusan para pelajar dan bukannya menyusahkan mereka hanya untuk kepentingan keduniaan semata-mata.

Apakah ini demokrasi dan keterbukaan kerajaan Malaysia? Walhal di Mesir, atau pelajar Malaysia yang belajar di luar negara sama sekali tidak terikat dengan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkannya untuk dikenakan tindakan yang terkandung didalam akta tersebut. Amat malang dan menyedihkan tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia sekarang ini.

ILMAM turut mempersoalkan mengapa hanya di Mesir diambil tindakan? Bukankah Bersih 2.0 dianjurkan di seluruh dunia? Di Australia, Jepun, Taiwan, United Kingdom, US dan lain-lain lagi? Jika kerajaan Malaysia ingin mengenakan tindakan sebegitu, biarlah adil, hukum semua penganjur atau mereka yang terlibat dengan tindakan yang sama di tempat-tempat lain.

Jadi, ILMAM Malaysia menaruh sepenuh pengharapan kepada Kedutaan Malaysia di Kaherah, Mesir agar membuat pertimbangan yang sewajarnya, iaitulah dengan menarik balik sebarang tindakan yang dikenakan ke atas semua pelajar Malaysia tersebut untuk mendapat haknya yang sepatutnya diperolehi. Terutama memberi peluang kepada Saudara Firdaus bin Mazlan yang mengambil kursus lanjutan untuk menjadi mufti di Darul Ifta’ Misriyyah yang sepatutnya telah tamat pengajiannya pada 25 Julai, kelmarin untuk menghabiskan dan melayakkan dirinya untuk mendapat sijil tersebut.

ILMAM Malaysia ingin mengakhiri dengan sedikit peringatan dan panduan hidup yang telah direncanakan oleh Nabi besar junjungan kita Nabi Muhammad saw:

Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam pernah bersabda: “Barangsiapa yang memudahkan jalan orang yang ingin menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkan jalannya untuk ke Syurga.”

Sabda Rasulullah SAW: “Bantulah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi”. Para sahabat lalu bertanya: “Memang kita perlu membantu saudara kita yang dizalimi, tetapi bagaimana pula kita membantu mereka bilamana mereka melakukan kezaliman?”. Maka Rasulullah SAW menjawab : “Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara membantu saudaramu yang zalim.” (H.R. Al-Bukhari)

USTAZ MOHD AZIZUL HISHAM BIN ZULKIFLI
PRESIDEN,
PERTUBUHAN LEPASAN MAHASISWA MESIR (ILMAM) MALAYSIA



PAS teliti untuk tindakan guaman

PAS Pusat memandang serius tindakan pihak Kedutaan Malaysia dan Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah (JPMK) ke atas pelajar yang mengadakan perhimpunan aman Bersih 2.0 Julai 9 yang lalu.

Perhimpunan Bersih 2.0 pelajar dan warga Malaysia di luar negara pada 9hb Julai lalu turut berlaku di beberapa buah negara yang lain, namun sehingga kini hanya di Mesir sahaja yang beria-ia untuk mengambil tindakan yang sangat melampau ke atas pelajar-pelajar Malaysia yang menyertai perhimpunan tersebut.

Menurut Lajnah Keahlian & Ulamak Pelapis, Dewan Ulamak PAS Pusat, antara tindakan yang diambil adalah pembatalan pengajian seorang mahasiswa negeri Selangor, menghalau 3 orang mahasiswa daripada Asrama Rumah Melayu di Abbassiyah (ARMA) tanpa sebarang notis dan surat tunjuk sebab, menyenarai hitamkan 40 orang mahasiswa negeri Perak dan beberapa orang mahasiswa negeri Terengganu yang menerima ugutan. Tambah Lajnah itu lagi, tindakan yang diambil juga dilakukan secara terburu-buru tanpa ada penyiasatan yang teliti dan tidak memberikan hak kepada mahasiswa terbabit untuk mempertahankan diri.

Walhal, mereka yang ditahan dalam negara semasa perhimpunan Bersih 2.0 Julai 9 yang lalu telah dibebaskan tanpa sebarang tindakan. Apakah kedutaan Malaysia di Keherah ketinggalan maklumat atau sengaja menjadi barua UMNO – bagi menunjukkan seolah-olah ia sahaja yang berani mengambil tindakan? PAS mengingatkan mereka jangan cuba menjadi umpama bidalan ‘lebih sudu dari kuah’.

PAS menyeru campurtangan Kementerian Pengajian Tinggi dan Wisma Putra bagi mengatasi kezaliman yang berlaku ini.
Pelajar-pelajar berkenaan, difahamkan sebahagiannya akan menamatkan pengajian beberapa bulan sahaja lagi – tidak seharusnya dibiarkan dibuang, dihalau dari asrama Malaysia dan dikenakan pelbagai ugutan.

Pihak Lajnah Guaman PAS akan meneliti isu ini secara dekat bagi membela nasib pelajar yang teranianya ini.
Mereka sepatutnya bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada, di mana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan oleh mahkamah ia bersalah. Tindakan yang diambil jelas menzalimi mahasiswa tersebut dan melanggar hak mahasiswa untuk berhimpun secara aman  yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan tidak dihalang oleh pihak berkuasa Mesir.

Tindakan zalim ini hanya akan menyemarakkan kebencian mahasiswa-mahasiswi terhadap kerajaan Umno Barisan Nasional, dan ia tidak membina sesuatu yang berguna bagi masa depan negara.

Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan