Kedua-dua pemimpin agama Mesir, Imam Besar Universiti Al Azhar di Mesir, Prof Dr Ahmed Mohamed Al-Tayyeb dan Ketua Gereja Coptic Pope Tawadros II membatalkan pertemuan dengan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence.
Mereka berbuat demikian kerana membantah keputusan Washington untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Pence dijangka mengadaka lawatan ke Mesir pada akhir bulan ini.
“Kami tidak boleh duduk di meja yang sama dengan mereka yang memanipulasi sejarah dan menafikan hak rakyat Palestin.
“Saya tidak langsung berminat untuk bertemu dengan pihak yang menyerahkan sesuatu yang bukan milik mereka. AS perlu segera membatalkan pengiktirafan,” kata Dr Ahmed Mohamed dipetik agensi media Islam antarabangsa.


Manakala Pope Tawadros II berkata, keputusan Presiden Amerika Donald Trump tidak mengambil kira perasaan berjuta-juta orang Arab.
“Gereja Ortodoks Koptik Mesir enggan menerima Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence,” katanya.
Justeru Sheikh Al-Tayyeb juga menggesa rakyat Palestin untuk keluar mencari rezeki dengan semangat yang tinggi di atas nama Islam dan negara tercinta.
“Kami (Al-Azhar) bersama-sama dengan rakyat Palestin dan tidak akan membenarkan mereka untuk berdiri sendiri,” katanya.
Sementara itu, Koptik Kristian Mesir membentuk kira-kira 10 peratus daripada 93 juta orang di negara itu, dan agama minoriti yang terbesar di rantau tersebut.



























