Berjuta-juta orang akan mati di Yaman , dalam krisis kebuluran paling teruk di dunia dalam beberapa dekad, kecuali gabungan tentera yang diterajui Arab Saudi menamatkan sekatan dahsyat.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata perlucutan embargo akan membolehkan bantuan dihantar negara itu.
Pakatan Arab yang menentang pemberontak Houthi memperketatkan sekatan udara, darat dan laut ke Yaman, selepas peluru berpandu balistik dilancarkan ke arah Riyadh pada hari Sabtu lalu.
Sejak itu, harga makanan dan bahan api melambung tinggi manakala penerbangan membawa bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan, dihalang daripada mendarat.
Selepas memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB pada hari Rabu, Ketua Kemanusiaannya Mark Lowcock berkata, langkah itu akan memburukkan lagi ‘bencana’ krisis kemanusiaan, kebuluran dan wabak taun masa ini.
“Saya telah memberitahu Majlis itu melainkan jika langkah-langkah sekatan diangkat … akan melata kelaparan di Yemen,
“Ia tidak akan menjadi seperti kelaparan yang kita lihat di Sudan Selatan awal tahun ini, di mana berpuluh-puluh ribu orang telah terjejas.
“Ia bukan seperti kelaparan yang menjejjaskan kehidupan 250,000 orang di Somalia pada tahun 2011,” katanya.
Bahkan tegas beliau, ia akan menjadi fenomena kelaparan terbesar dunia sejak beberapa dekad, dengan berjuta-juta mangsa akan mati.
Walaupun telah diberi amaran keras oleh Lowcock dan Majlis Keselamatan yang mengutuk tembakan peluru berpandu oleh pemberontak Houthi, namun tiada tindakan segera pakatan Arab ke atas sekatan tersebut.
Duta Itali Sebastiano Cardi, yang memegang jawatan Presiden Majlis Keselamatan, melahirkan kebimbangan mengenai ‘keadaan kemanusiaan yang mengerikan di Yaman.
Beliau menekankan agar pelabuhan dan lapangan terbang di Yaman berfungsi bagi menyelesaikan permasalahan itu.










