Ucapan Perwakilan Dewan Muslimat PAS Pusat

1004

1.0    Ybhg. Tuan Pengerusi Tetap, YB Tuan Guru Datuk Seri Presiden, Ahli-Ahli Majlis Syura Ulamak, Soff Kepimpinan PAS Pusat, Sidang Perwakilan, Para Pemerhati Dan Seterusnya Rakan-Rakan Media, Blogers Serta Seluruh Aktivis Perjuangan Islam & Perjuangan Rakyat Di Mana Pun Mereka Memainkan Peranan.

2.0    AlhamduliLlah, ana saudara kamu dalam Islam dan saudara kamu seinsan/ sekemanusiaan : Aiman Athirah Al Jundi – Perwakilan dari Dewan Muslimat PAS Pusat ingin turut sama mengambil bahagian dalam Perbahasan Usul Ucapan Terima Kasih Atas Ucapan Dasar Datuk Seri TG Presiden ; yang hakikatnya telah pun upaya mengangkat suatu  tema yang pada hemat kami begitu memenuhi ciri-ciri Rahmatan lil Alaamin (Rahmat kepada sekalian alam) : iaitu Membangun Negara Berkebajikan… ke persada Muktamar Tahunan PAS Kali yang ke-57, khususnya dan ke gelanggang politik tanahair amnya.

3.0    Tentunya ini merupakan manifestasi SEDAR dan INSAF seorang Presiden bagi sebuah parti politik tertua negara ini  yang dilihat tegar mengemudikan bahtera perjuangan Gerakan  SIASATUD DAKWAH meski adakalanya terpaksa dilambung  gelombang mehnah dan tribulasi – ribut dalam secangkir kopi –  atau mungkin Ibtila yang tidak putus-putus bertandang siang dan malam; pagi dan petang. Lantaran itulah sunnahnya hidup kita para pejuang.

4.0    Dewan Muslimat PAS Pusat juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada YB Datuk Seri TG  Presiden atas pemilihan tema MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN  yang secara tidak langsung memberikan isyarat jelas kepada seluruh rakyat Malaysia betapa PAS sebenarnya siap siaga memberikan khidmat pemerintahan bernegara yang jauh lebih Amanah, Bersih,Bertanggungjawab, Adil Dan Berkebajikan. Justeru Dewan Muslimat ingin menyarankan agar satu Pelan Bertindak Membangun Negara Berkebajikan dapat diadakan di semua peringkat organisasi parti.

5.0    Selari dengan iklim politik tanahair yang kini membawa kita semua kepada suatu ambang Pilihan Raya Umum kali yang Ke-13, kelihatannya juga Presiden melalui tema  Ucapan Dasar ini telah usaha meletakkan satu arahan bertindak komprehensif  kepada seluruh kepimpinan organisasi dan jentera parti di semua peringkat untuk siaga menyantuni ummat.

6.0    Isyaratnya juga sangat jelas bahawa kita yakni Gerakan Islam PAS ini sangat memahami betapa Malaysia sebenarnya berada  dalam pelbagai krisis : Krisis Ekonomi, Krisis Kerosakan Institusi Negara, Krisis Ketegangan Masyarakat Pelbagai Kaum dan Agama (yang seringkali dijadikan sebagai bom jangka bagi memastikan survival BN). Krisis Pelbagai Dasar Kerajaan yang senantiasa mengambil pendekatan “Rakyat Didahulukan Untuk Dibebankan”, Krisis Sosio-Ekonomi akibat kecenderungan Makmal Subsidi Negara yang berterusan memperbodohkan rakyat dalam usaha melegitimasikan tindakan mengaut keuntungan Kerajaan BN yang mengamalkan “Korporat Didahulukan dan Hidup Rakyat Dibebankan”…. Hakikatnya golongan wanita dan kanak-kanak lah yang sangat terbeban dengan tindakan tidak bertanggungjawab BN ini.

7.0    Memang tidak syak lagi, sudah terang lagi bersuluh betapa BN selama ini sebenarnya menjadikan mandat politik rakyat yang mereka perolehi melalui beberapa siri PRU sebagai lessen dan permit untuk mereka menjalankan perniagaan. BN berniaga dengan bermodalkan kekayaan Negara – Harta Rakyat Yang sepatutnya Diamanahkan Kepada Mereka sebagai pemerintah. Seterusnya menjadikan rakyat sebagai mangsa daripada perniagaan yang songsang itu.

Ybhg. Tuan Pengerusi Tetap, Soff kepimpinan dan sidang perwakilan,

8.0 Malaysia juga berada dalam krisis  akibat kecenderungan BN untuk berterusan menodai hak-hak asasi rakyat – yang dalam banyak keadaan BN akan mengambil pendekatan menzalimi setiap individu yang berani bangkit dan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Untuk ini Dewan Muslimat ingin memberikan amaran kepada BN dan proksi-proksinya yang terdiri daripada institusi-institusi penguatkuasa bahawa Dewan Muslimat tidak teragak-agak untuk menggerakkan satu kebangkitan baru – Revolusi Suri Rumah. Dewan Muslimat akan bersama-sama Dewan Ulama dan Dewan Pemuda menggerakkan rakyat untuk memimpin kebangkitan rakyat ; sehinggalah semangat kebangkitan di Asia Barat itu dapat dibawa ke dalam Negara ini –  dari Medan Tahrir ke Dataran Merdeka! Krisis Kepimpinan Politik Negara yang segar dipalit pelbagai skandal moral dan gejala rasuah yang merosakkan muamalah Negara dan ummah….

9.0    Hatta…kita juga sebenarnya kini sedang berada di kemuncak Krisis Pendidikan serta Kegagalan Pembangunan Moral dan Modal Insan – mengakibatkan pelbagai jenayah terus meningkat dan Malaysia kini tidak lagi selamat untuk kebanyakan rakyat. BN hakikatnya telah GAGAL MEREALISASIKAN MANIFESTO PRU KE 12 mereka yang menjanjikan Malaysia – Selamat, Aman & Makmur!

Ybhg. Tuan Pengerusi Tetap,

10.0    DSTG Presiden telah secara khususnya menyentuh 7 point ketika  menyampaikan UD ini pada tajuk Cabaran Terhadap Muslimat : 1-peranan sebagai pendidik keluarga, 2-peranan sebagai benteng utama dalam pelbagai serangan pemikiran cetusan fenomena media elektronik, 3-peranan sebagai pendakwah dalam masyarakat, 4-peranan sebagai duta penerangan PAS yang akan hadir ke setiap pintu rumah rakyat,  5-peranan sebagai entity demokrasi Negara yang diterjemahkan daripada nilaian setiap undi lelaki dan wanita, 6-peranan sebagai kepimpinan organisasi dan jentera parti yang berkesan tetapi harus senantiasa bermuhasabah dan meningkatkan keupayaan , 7-peranan sebagai entiti yang berkesan dalam pemerintahan dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat. AlhamduliLlah…untuk itu Dewan Muslimat PAS Pusat ingin mengucapkan setinggi penghargaan di atas keprihatinan dan pengiktirafan daripada YB DSTG Presiden .

11.    Justeru, Selari dengan keprihatinan dan pengiktirafan itu yang juga telah disimpulkan sebagai “jihad fardhu ain” di dalam UD ini maka kami daripada Dewan Muslimat PAS Pusat dengan penuh pengharapan jua mohon semulusnya pengertian  agar seluruh kepimpinan organisasi dan jentera parti , bahkan termasuk juga kalangan anggota dan aktivis perjuangan ini yang terdiri daripada kaum bapa, yakni Adam (Lelaki/ Muslimin) dapat memberikan perhatian dan juga membantu kami di dalam Dewan Muslimat PAS Pusat dalam usaha meningkatkan daya dan pengupayaan Muslimat di semua peringkat agar lebih berkesan dan terkesan; AGAR BUKAN SAHAJA MUSLIMAT ITU ADA, TETAPI JUGA DAPAT DILIHAT ADA.

12.    Sekaligus untuk itu juga, Dewan Muslimat PAS Pusat dengan penuh takzim meletakkan setinggi pengharapan kepada seluruh kepimpinan Dewan Ulama PAS di semua peringkat agar dapat juga seiring membantu kami dalam usaha menanamkan keyakinan bahawa peranan setiap individu muslimat yang mukallaf dalam perjuangan ini adalah sangat diperlukan PAS untuk kita bersama memikul tanggungjawab dan amanah MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN. Janganlah hendaknya ada sebarang tindak tanduk daripada mana-mana pihak yang akhirnya merencatkan “faham” kalangan para anggota muslimat khususnya yang berada di peringkat akar umbi tentang kewajipan mereka untuk komited memberi khidmat dalam perjuangan.  Sehingga akhirnya mereka merasakan adalah lebih awla untuk mereka diam tinggal di dalam rumah berbanding keluar berjihad di jalan Allah.

Ybhg. Tuan Pengerusi Tetap,

13.0    Dewan Muslimat PAS Pusat selama ini pun senantiasa menekankan kepada seluruh kepimpinan organisasi dan jenteranya agar meletakkan urusan keluarga dan rumah tangga mesti beres, persefahaman dan memahami tuntutan perjuangan di antara suami isteri mesti ada, rasa kasih sayang dan hormat kepada ibu bapa juga mesti ada bagi memastikan setiap individu mujahidah yang mukallaf ini akhirnya nanti dapat memberikan khidmat bakti yang jauh lebih focus dan berkesan kepada ummat seluruhnya.

14.    Untuk itu juga, Dewan Muslimat PAS Pusat dalam menyantuni dan mendepani segala cabaran yang diunjurkan oleh YB DSTG Presiden di dalam UD ini, ingin menyatakan iltizam dan komitmen kami untuk menyahut seruan YB DSTG Presiden. Dewan Muslimat akan memastikan pelbagai program meningkatkan keupayaan dan kemahiran Muslimat dilaksanakan di semua peringkat. DM juga akan menggerakkan usaha bersepadu bersama DMPN/K dalam memberikan bimbingan dan latihan secara teori dan praktikal kepada seluruh kepimpinan organisasi dan jentera Muslimat di semua peringkat. “Alang alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”…. Agar akhirnya nanti Muslimat PAS akan terpimpin dengan pelbagai Ilmu dan Kemahiran – Strategic & Tactical Thinking, Base On Fact & Figures! Dengan Izin.

15.0    Kita mahu terus melihat Gerakan Muslimat  PAS dalam senario politik tanahair ini   tegar  melolosi  “mainstream” yang ada ; bertindak pantas dalam budaya hikmah, cekal berani dalam kelembutannya, berjiwa srikandi  berminda ‘alimah ; punya jati diri, jati emosi dan  jati hati .

Muslimat PAS yang tahu bagaimana untuk memastikan dirinya agar duduk sama rendah, berdiri sama tinggi bilamana bersama dengan aktivis-aktivis wanita yang lain . Muslimat PAS yang mampu meletakkan idealisme hatta aqidah perjuangannya jauh tersohor lantas menjadikan mereka jama’at el muslimat yang tinggi ‘izzahnya di sisi makhluk dan juga di sisi Allah .

Ybhg. Tuan Pengerusi Tetap

16.0    Selari dengan semangat UD ini juga, Dewan Muslimat akan meletakkan Agenda Sakinah – Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku) sebagai antara prinsip utama yang menjadi teras kepada penglibatan Muslimat dalam perjuangan ini. Dewan Muslimat juga ingin menyarankan akan Konsep Dakwah Kasih Sayang dapat diterapkan dalam setiap gerakerja parti di semua peringkat di seluruh Negara. Kita mahu aura kasih sayang itu dapat hadir dari dalam rumah ; dari dalam jamaah; dari dalam harakah (yakni gerakan) ini sehinggalah terus kepada rakyat seluruhnya. Semangat “Tahaadu Tahabbu” yang diunjurkan Nabi Muhammad SAW akan menjadi methodology penting Muslimat dalam menyantuni rakyat.

Juga dalam kesimpulan ana sebutkan :

1.    Ucapan terima kasih kepada semua perwakilan Muktamar Dewan Muslimat Kali Ke-51 atas kejayaan semua mengumpul dana PRU13 sejumlah RM101,812.00. Sasaran Dewan Muslimat selanjutnya adalah mengumpul sejumlah RM500,000.00 sebelum PRU13.
2.    Dewan Muslimat siap siaga menghadapi jentera BN dalam PRU13.

Point Ini Tidak Sempat Disebut…

17.0    Justeru, Dewan Muslimat menyeru kepada semua kita di dalam Gerakan Islam PAS yang kita dokongi ini, kita sayangi ini…yang kita semua telah mengintima’kan diri (menggabungkan diri) di dalamnya ….dalam semangat ukhuwah yang tinggi murni ..dalam semangat perjuangan yang bersih agar memperbetulkan sikap : berhenti daripada budaya label melabel sesama di dalam parti. Profesional,Ulamak,Erdogan,UG, IRC dan segala seumpamanya. Beringatlah kita, kita ini hakikatnya Pejuang Islam. Islam itu semangatnya “Rahmatan lil Alaamin”…Rahmat kepada sekalian alam.

18.0    Jangan biarkan budaya label melabel ini menghancurkan semangat ukhuwah dan setiakawan di dalam satu wadah perjuangan. Kelak di alam barzakh, di padang mahsyar….kita tidak akan ditanya adakah kita ini Profesional atau Ulamak? Kita juga tidak akan ditanya adakah kita ini Erdogan ataupun UG. Kita tidak akan ditanya apakah kita ini PAS Celup atau PAS Tulen.

19.0    Realitinya budaya ini hanya akan mewujudkan pelbagai prasangka buruk sesama kita ; yang sewajarnya bersatu hati berganding bahu merapatkan saff untuk kepentingan memperjuangkan Islam dan nasib ummat. Kasihankan Rakyat….Kasihanilah Rakyat…..Kasihanilah mereka yang tertunggu-tunggu akan kita tampil dengan agenda mantap dan bersatu untuk kembali membimbing mereka ke jalan Tuhan. Ke Jalan Persaudaraan. Ke Jalan Kasih Sayang. Ke Jalan Rahmatan lil alamin.

20.0     Kita berpolitik, mengikut cara Mukmin berpolitik yang setia dengan agama di samping menghargai kehendak-kehendak hukum dan menyediakan pelajaran pelajaran . Ingatlah pesanan baginda RasuluLlah saw dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah……yang bermaksud :
“Sesungguhnya perkara yang paling aku takut berlaku kepada ummatku ialah menyengutukan ALlah swt .
Aku tidak mengatakan bahawa mereka menyembah matahari, bulan atau berhala .
Tetapi mereka membuat ‘amalan-‘amalan bukan untuk ALlah
tetapi untuk keinginan-keinginan nafsu yang tersembunyi.”

Ybhg. Tuan Pengerusi Tetap, Soff Kepimpinan & Sidang Perwakilan  ,

21.0    Dewan Muslimat PAS Pusat percaya bahawa UD ini telahpun mencakupi segala hasrat kita untuk membawa kemakmuran, keadilan social dan persaudaraan rakyat bersama Pakatan Rakyat sepertimana yang juga ditegaskan di dalam Dokumen Penting kita iaitu Buku Jingga. Malaysia memerlukan perubahan yang menyeluruh. Malaysia perlu diselamatkan daripada pemerintahan yang tidak beramanah. Dan akhirnya… Dewan Muslimat PAS Pusat ingin menawarkan agenda utama kami kepada para wanita di dalam satu slogan : MEMARTABATKAN KEMULIAAN WANITA!

Sekian, Wassalamu’alaikum Wama’annajjah Wa ilal liqo’.

Takbir !