Kembali Bersatupadu Dengan Islam – Mufti Mindanao

1773

Oleh KAM

COTABATO (Filipina) – Umat Islam di mana sahaja diingatkan agar kembali bersatupadu dengan Islam kerana itu yang ditegaskan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.

Mufti Mindanao, Ustaz Abuhuraira @ Muntasir Abdurahman turut melarang berbuatan bertengkar dan bermusuhan sesama sendiri kerana akan melemahkan umat Islam.

Katanya, menyatupadukan umat manusia atas nama politik ternyata gagal melainkan kembali kepada agama Islam.

“Mesej dari khutbah aidiladha ini bersatupadu. Kita perlu bersatupadu, jangan bertengkar, jangan bermusuh-musuhan sesama (Islam) sendiri kerana nanti kamu akan gagal dan kekuatan kamu akan hilang.

“Dan bagaimana kita hendak menyatupadukan umat manusia ini. Kita hanya boleh menyatupadukan umat manusia ini hanya dengan satu faktor iaitu dengan nama agama (Islam).

 

“Jika dengan nama politik mungkin sudah kita terangkan, sudah nyata (gagal). Tapi (atas) nama agama (Islam) ada Allah SWT terangkan dalam al-Quran dengan maksudNya.

“Iaitu “Wahai Muhammad (SAW) jika engkau membelanjakan segala harta benda di dunia ini untuk menyatupadukan dan mengikat hati-hati mereka tidak dapat, tetapi yang sebenarnya hanya Allah yang dapat menyatupadukan mereka dengan nama agama Islam”.

“Walaupun usaha kita untuk menyatupadukan, untuk meninggikan kalimah Allah terpaksa melalui jalan yang sempit (susah) tetapi akhirnya akan mendapat kejayaan itu, Insya’Allah,” jelasnya kepada 500 ahli qariah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Khutbah Aidiladha di Masjid Ibadul Rahman, Kampung Lugay-Lugay, Cotabato City, pada 1 September lalu.

Ustaz Abuhuraira yang juga bekas Mubaligh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) pernah dianugerahkan sebagai Pendakwah Cemerlang oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) ketika berkhidmat di Sabah.

Ketika ditanya selepas itu, apakah Bangsamoro Mindanao mempunyai masa depan, beliau menjelaskan perjuangan Bangsamoro sejak sekian lama terpaksa melalui liku-liku kesusahan itu demi kesucian agama Islam.

Namun, katanya kejayaan dan kemenangan itu semakin hampir jika umat Islam Bangsamoro ini bersatupadu atas nama Islam sebenar.

“Begitulah jihad kita Bangsamoro ini memang kita terpaksa melalui kesusahan itu. Tetapi, kini Alhamdulillah…seolah-olah kita melihat satu langkah lagi.

“Insya’Allah, jika Bangsamoro Basic Law (BBL) ini berjaya, ini satu langkah. Tetapi bukanlah ini yang kepenghabisan kerana kita seorang muslim (Islam) tahu bagaimana dan apa ‘target’ (sasaran) kita yang sebenarnya.

“Tetapi, malangnya ramai di kalangan orang Islam sendiri di sini (Mindanao) yang membangkangnya dan tidak sehaluan. Ini masalah ‘dalaman’ orang Islam,” ujar beliau ketika ditemui di rumahnya.

MILF menandatangani perjanjian Framework Agreement on The Bangsamoro (FAB) pada 25 Oktober 2012, harapan umat Islam untuk menikmati keamanan dan kedamaian semakin besar.

Perjanjian FAB itu disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Panglima, Musa Haji Aman dan proses seterusnya adalah merangka Bangsamoro Basic Law (BBL).

Katanya, jika BBL itu diterima dan diluluskan oleh pihak pemerintah Manila kelak, MILF akan mempunyai kuasa autonomi sendiri yang lebih luas.

“Jika BBL ini lulus tidak payahlah mereka berjuang. Tetapi, jika kelulusannya tidak sampai kepada apa yang mereka mahu dan seperti Wilayan Autonomi Islam Mindanao (ARMM) sahaja, mereka teruskan perjuangan.

“Kita (MILF) macam naik ke tangga satu demi satu. Jika kita dapat kurang dari ARMM, kita tidak mahu terima dalam BBL ini.

“Apa yang mahu kita terima lebih dari itu dan ada kuasa tersendiri. Kita (MILF) berharap ada kuasanya lebih sedikit untuk mentadbir negeri. Kita ada Parlimen sendiri dan autonomi yang ada kuasa. Kami ada ramai pemimpin yang memahami (BBL) bagaimana mahu melaksanakan sistem pemerintahan itu,” tegasnya.

Apa yang penting, kata Ustaz Abuhuraira bahawa umat Islam Bangsamoro seluruhnya kena bersatupadu atas nama Islam serta menolak keganasan.

Sementara itu, beliau turut menyampaikan salam kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang merupakan rakan kenalan lama ketika sama-sama menuntut di Madinah tahun 70-an.

Delegasi NGO Korban Mindanao itu diketuai oleh Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, bersama wakil-wakil NGO lain seperti Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu (YAMCT), Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Terengganu (Yakep).
Persatuan Lepasan Pelajar Institut Berakan Negeri Terengganu (Sisbakti), Muslim Care Malaysia, Al-Aqsa Resources, Pertubuhan Kebajikan Pembangunan Insan Kelantan, Masjid Jamek Tok Jiring dan Kumpulan Aktivis Media Indipenden (KAMI) Terengganu.

Selepas solat sunat Aidiladha, sebanyak 8 ekor lembu dan kambing turut disembelih korban untuk diagihkan kepada penduduk di Cam Darapanan, Cotabato City.