Perutusan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha, Pesuruhjaya Pas Terengganu

3080

Ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah dan tempat-tempat yang ditetapkan untuk melaksanakan amalannya adalah kemuncak ibadah dalam rukun Islam kelima bagi setiap individu muslim.

Ia adalah ibadah yang membawa makna pengorbanan tidak ada tolok bandingnya sebagai menifestasi dari perhambaan yang mutlak seseorang manusia kepada tuhanNya.

Dengan meninggalkan segala-galanya, zahir dan batin bagi menuju puncak keimanan dengan membersihkan diri dari sebarang elemen syirik.

Juteru peristiwa kesanggupan Nabi Ibrahim AS melaksanakan perintah Allah untuk menyembelih anaknya dan kepatuhan Nabi Ismail AS terhadap arahan Allah itu, adalah satu bukti ikatan akidah yang tulin.

Sesungguhnya sambutan ‘hari raya korban’ juga adalah lahir dari ketinggian sahsiah dan kepatuhan seorang muslimah bernama Siti Hajar, yang reda demi kerana Allah sanggup ditinggalkan di satu lembah kering kontang bersama anak kecilnya.

Tanpa satu pergantungan kepada yang lain, hanya sanya kepada Allah semata-mata, ketiga-tiga mereka menjadi bukti serta contoh kepatuhan atau wala’ yang luar biasa.

Oleh kerana itu, Allah SWT memberi suatu ‘ibrah’ yang sangat penting kepada jamaah haji iaitu hakikat semua manusia adalah sama di sisi Allah melainkan mereka yang bertaqwa.

Penolakan yang total terhadap syaitan dan sebarang unsurnya juga telah dizahirkan oleh semua tetamu Allah sebelum mereka pulang ke tanah air, membawa suatu pengertian bahawa mereka tidak akan lagi berkompromi dengan iblis dalam apa juga perkara dalam kehidupan mereka.

Mewakili seluruh kepimpinan di semua peringkat, ahli dan penyokong PAS di negeri Terengganu, saya mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha”.

Dengan doa dan munajat, agar Allah menerima amalan haji yang dilakukan oleh semua jamaah serta sembelihan binatang korban yang dilakukan oleh ummat Islam di seluruh dunia.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Walillahilhamd.

Ikhlas dari saya,

Dato’ Ustaz Husain Bin Awang
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
9 Zulhijjah 1438H/ 31hb Ogos, 2017