Tentera kerajaan, penentang bertempur di Yaman, 6 terkorban

846
http://buletinonline.net/images/stories/berita48/krisis%20yaman.jpg

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2011/05/krisis%20yaman.jpgSANAA: Pasukan keselamatan dan penentang pemerintah kelmarin bertempur menggunakan senjata automatik, mortar dan kereta kebal di ibu kota Yaman, menyebabkan enam orang terkorban dan hampir 40 cedera.

Pertempuran terburuk sejak bantahan tercetus tiga bulan lalu bagi mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletak jawatan itu telah menyebabkan beberapa bangunan pemerintah musnah dan terbakar.

Ia berlaku di luar kediaman pemimpin puak Hashid yang paling berpengaruh, Sheik Sadeq al-Ahmar.

Pertempuran dengan pasukan keselamatan berlarutan selama enam jam sebelum duta Amerika Syarikat menjadi orang tengah untuk mengisytiharkan gencatan senjata.

Para saksi berkata pasukan keselamatan telah menubuhkan sekatan jalan raya di daerah Hassaba – antara kediaman Sheik Sadeq dengan bangunan Kementerian Dalam Negeri yang berdekatan.

Tindakan itu dianggap sebagai satu provokasi kepada pemimpin puak Hashid itu dan keganasan tercetus apabila pasukan keselamatan didakwa cuba menceroboh kediaman Sheik Sadeq.

Semasa pertempuran itu, beberapa anggota pasukan keselamatan telah berlindung di ibu pejabat agensi berita negara, Saba.

Ini mendorong anggota puak Hashid yang telah merampas bangunan Kementerian Perdagangan yang bertentangan melepaskan tembakan ke arah ibu pejabat Saba.

Timbalan ketua editor Saba, Encik Hassan al-Warith, berkata kakitangannya terpaksa bersembunyi di besmen sementara seorang wartawannya cedera apabila terkena serpihan.

‘Kami kini terperangkap di besmen. Tingkat atas semua sudah musnah,’ kata Encik Warith, yang merayu agar pihak berkuasa menyelamatkan mereka.

Meskipun gencatan senjata telah diisytiharkan, anggota pasukan keselamatan dan anggota puak Hashid masih kekal di daerah Hassaba.

Sejak bantahan menentang pemerintahan Presiden Salleh tercetus sekitar tiga bulan lalu, sekurang-kurangnya 150 orang telah terkorban sejauh ini.

Sebelum ini, Encik Salleh pernah menuduh para pemimpin puak yang menyebabkan perang saudara tercetus di negara itu. — AP.