Program ‘Satu Rumah Seorang Graduan’ Gagal

1637

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA NERUS – Program ‘Satu Rumah Seorang Graduan’ yang dicetuskan oleh Dato’ Seri Ahmad Razif pada tahun 2009 tidak berjaya kerana ia bukanlah asas matlamat manusia dilahirkan, diatas muka bumi.

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang berkata, walaupun ia sangat baik dan tidak sukar dicapai, tetapi ia tidak berjaya menyelesaikan masalah apabila rata-rata graduan menjadi penganggur maskini.

“tidaklah terlalu sukar untuk dicapai, bahkan bagi sesebuah rumah, lebih dari seorang ahli keluarga mereka yang berjaya sebagai graduan,

“tetapi ia tidak menyelesaikan masalah kerana seseorang anak bergelar graduan tidak boleh menjamin sebagai manusia yang berakhlak jika tidak disemai dengan ilmu agama di dadanya,” jelas beliau

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program ziarah penduduk sempena Ramadan di Kampung Batin dan Taman Permint, pada Rabu 31 Mei, hari ini.

“Cabaran keruntuhan akhlak khususnya dalam kalangan anak muda di zaman sekarang sangat besar dan sukar dibendung,

“Sepatutnya kerajaan menekankan aspek keagamaan dalam sistem pembelajaran sama ada diperingkat rendah, menengah mahupun Universiti”, ujarnya.

Menurutnya lagi, isu lambakan graduan pada hari ini telah menimbulkan masalah pengangguran yang berskala besar.

Peluang pekerjaan dilihat tidak seimbang dengan produk graduan yang keluar setiap tahun daripada pusat-pusat pengajian tinggi, sama ada awam atau swasta.

“Keadaan ini diburukan lagi dengan polisi kerajaan yang menaikkan had umur persaraan sehingga kepada 60 tahun,

“Sudah pasti peluang pekerjaan semakin sempit untuk orang-orang baharu,

“Pengangguran pastinya menjadi suatu penyakit dalam masyarakat yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak dan masalah sosial yang semakin membimbangkan,

“Sesuatu program yang digagaskan oleh pihak kerajaan sepatutnya mempunyai persiapan yang rapi, bukan sekadar satu retorik untuk menggambarkan kehebatan orang yang mencetuskannya, yang akhirnya rakyat juga yang menanggung akibat”, ujar Ustaz Zakaria kesal.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Yang Berhormat Dato’ Dr. Ustaz Khairuddin Aman Razali.