Oleh: Dr Azman Ibrahim
Ustaz Rosli Abas atau mesra dipanggil Ustaz Mat Li dari Kampung Tanah Merah, Jabi. Baru melalui hari-hari persaraan sebagai seorang guru di Kementerian Pendidikan Malaysia. Sangat istiqamah dengan parti walau tak berjawatan tinggi. Sepanjang lebih 20 tahun dalam perkhidmatan perguruan, sebahagian besarnya beliau dihantar ke serata ceruk lantaran kerana pegangan politiknya berbeza dengan pihak kerajaan yang memerintah. Kalau nak dengar kisah seorang guru yang menjadi mangsa pertukaran ke sana-sini kerana politik, Ustaz Mat Li adalah antara saksi yang masih hidup. Isteri beliau yang juga merupakan Setiausaha Muslimat Pas Jabi pernah bergurau, “Sepanjang tempoh berumahtangga, berapa hari je Ustaz boleh duduk di rumah.”
Bekas ADUN Jabi, Ramlan Ali pernah sebut bahawa selagi dia jadi wakil rakyat, selagi itulah Ustaz Mat Li tak akan dapat balik kampung. Kebetulan Ramlan dan Ustaz Mat Li berasal dari kampung yang sama, Kampung Tanah Merah Jabi. Sampai begitu sekali kebencian ditunjukkan kepada hamba Allah ini.


Menarik juga untuk diceritakan, di mana tempat Ustaz Mat Li dihantar berkhidmat, maka di situ beliau akan menghidupkan surau dan masjid dengan kuliah agama sehingga susuk yang tawadu’ ini menjadi kesayangan masyarakat serta menjadi tempat rujukan mereka. Mudah sebut, mana tempat Ustaz Mat Li pergi, PAS akan mendapat khidmatnya. Pening kepala juga Umno nak tangani isu ini. Lagi jauh hantar, lagi PAS berkembang! Saya tak pernah dengar dari mulutnya keluar ungkapan keluhan atas apa yang beliau lalui. Pasrah dan redha serta memanfaatkan setiap tempat beliau ‘dibuang’ untuk menyampaikan dakwah Islam. Hebatnya bila sentiasa berfikir positif dan mengubah suatu ‘hukuman’ menjadi anugerah bernilai.
Sambutan Hari Guru tahun ini, PAS Jabi mengambil pendekatan sedikit berbeza dengan mengunjungi bekas-bekas guru yang telah bersara. Mengalir air mata beliau menerima kunjungan dan penghargaan. “Ada lagi orang ingat ko kita…” Kata Ustaz Mat Li sayu.
Ya! Insan tabah berhati mulia seperti beliau akan sentiasa diingati.




























