KUALA NERUS – Rasulullah SAW dibangkitkan untuk menjadi model guru dan contoh pendidik yang terarah bagi membina jiwa kemanusiaan manusia.
Justeru, kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang bahawa Guru yang berjaya ialah yang membawa kebenaran.
Menurutnya, kebenaran mutlak ialah apa yang diajar dan digagaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW.
“Semua kegelapan jahiliyyah itu berakhir apabila Rasulullah SAW dibangkitkan membawa dan mengajar risalah (al-Quran) Allah SWT yang diwahyukan . Manusia yang ganas dan buas itu telah bertukar menjadi obor kepimpinan dan pembina tamadun sejagat.


Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (Komtaq), Pekan Batu Enam, pada 15 Mei lalu.
Sehubungan itu, Dato’ Husain turut merakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di negeri Terengganu dan Malaysia amnya.
“Saya mewakili seluruh saf kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di negeri Terengganu khasnya dan Malaysia amnya,” ujar beliau.


Justeru katanya, berkhidmatlah dengan dedikasi dan penuh integriti kerana mereka yang memikul tanggungjawab sebagai guru sangat besar kelebihan disisi Allah SWT.
“Buat semua yang bergelar guru percayalah anda adalah insan mulia dan tinggi kedudukannya disisi Islam dan masyarakat.
“Berkhidmatlah wahai guru dengan dedikasi dan penuh integriti kerana sesungguhnya beruntunglah mereka yang memikul tanggungjawab sebagai seorang guru,” ujarnya selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Marang.
Manakala di Kemaman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Hanafiah Mat berkata Hari Guru yang disambut pada 16 Mei adalah bertujuan menghargai sumbangan warga pendidik dalam mencorak sifat dan tamadun negara.
“Lahirnya generasi anak bangsa hari ini yang mencorak negara atas sumbangan dan pengorbanan warga pendidik dalam mendidik tanpa lelah dan jemu.


“Kesabaran mendidik telah mengangkat martabat guru ke satu tahap yang mulia dan dipandang tinggi, Insya’Allah.
“Saya mewakili seluruh saf kepimpinan PAS Dun Chukai, Terengganu mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di Dun Chukai khasnya dan Malaysia amnya,” ujar Hanafiah selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Terengganu.
Sehubungan itu, beliau mengadakan lawatan ke beberapa buah sekolah rendah dan menengah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang terdapat dalam DUN Chukai, Kemaman.





























