KEMAMAN – Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik yakin PAS berupaya ‘menawan’ kerusi Kemasik, satu-satunya kerusi dalam Parlimen ini, yang belum dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Pengarahnya, Haji Amri Mamat (ganbar atas) percayai, benteng Umno Kemasik bakal tumbang pada PRU nanti.
Katanya, walaupun sudah puluhan tahun Umno berkuasa di kawasan yang paling kaya dengan industri petroleum itu, Kemasik masih ketinggalan jauh.
Buktinya kata beliau, beberapa orang ADUN Kemasik yang juga menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan (Exco) sebelum dan ketika ini, masih tidak membawa sebarang perubahan di kawasan tersebut.
“Walaupun kawasan (ini adalah kawasan) Exco tapi kita tengok dari segi kemajuan kepada rakyat tidak seberapa,
“walaupun Exco tu Exco infrastruktur, tapi tidak ada satu infrastrktur yang dapat kita lihat melainkan infra yang sebelum ini,
“berbanding dengan masa pemerintahan PAS dulu Bandar Baru Kertih yang kita buat banyak kedai,” ujar beliau.
Sambil menangkis dakwaan, bahawa PAS akan berkerjasama dengan Umno, beliau turut menegaskan bahawa lawan PAS adalah Umno.
Beliau menegaskan, fitnah tersebut tidak benar kerana Budaya Politik Matang Dan Sejantera (BPMS) yang menjadi amalan PAS sekarang adalah bekerjasana dengan kerajaan, bukan dengan Umno.
Menurutnya melalui program HARAP yang diadakan, PAS menjaga kebajikan kepada para pengundi kerana PAS sangat mengutamakan kehidupan rakyat.
Beliau turut yakin, BPMS difahami oleh ahli dan penyokong PAS dan rakyat secara umumnya dapat menerima pendekatan terkini PAS itu.
Turut hadir dalam majlis ceramah itu ialah Ahli Parlimen Dungun YB Ustaz Wan Hassan Ramli, Ketua Penerangan PAS Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan juga Yabg DiPertua PAS Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid.