Keputusan Perbicaraan Siti Aisyah Pada 18hb April

4130

(Gambar atas – Siti Aisyah berbual dengan ibunya sewaktu berdiri di kandang saksi, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur)

Sesi perbicaraan Siti Nor Aisyah Atam selama dua hari pada 10hb dan berakhir semalam 11 April, akan diketahui keputusannya pada 18hb depan.

Peguam beliau, Mohd Kamaruzaman Abdul Wahab berkata, perbicaraan yang berlangsung selama dua hari itu adalah ditetapkan untuk kes pembelaan di mahkamah tinggi Kuala Lumpur.

“setelah mahkamah rayuan mengarahkan tertuduh membela diri, tarikh bicara pada 10 dan 11 April, semalam (10hb) Siti Aisyah telah memberi keterangan dari kandang saksi.

“Pada hari ini pihak pendakwaan memanggil seorang saksi polis bagi tujuan mengemukakan satu laporan polis oleh ayah Siti Aisyah pada tahun 2014,” jelasnya.

(Gambar atas – Kamaruzaman, kiri, ketika berbincang dengan pasukan guamannya)

Beliau berkata demikian ketika dihubungi petang Selasa, sebaik tamat sesi perbicaraan itu.

Belai berkata pada Isnin, mahkamah bersidang sehingga jam 4.30 petang dan hari Selasa berjalan sehingga sampai 12.00 tengah hari.

“(Sesi perbicaraan kali ini) sudah tamat dan keputusan akan diketahui pada 18 April ini,” tambah beliau.

Siti Aisyah, seorang bekas mahsiswi peringkat sarjana (Master) Universiti Malaya Kuala Lumpur telah ditahan di rumahnya di Kampung Sura Hujung, Dungun, pada pada 22 Mac 2016.

Sepasukan polis ‘anti-teroris’ dari Bukit Aman, telah mengepung kawasan rumahnya sebelum beliau dibawa pergi.

Setelah ditahan selama 28 hari, Siti Aisyah di bawa ke Mahkamah Majistret Kemaman pada 19 April 2016, dan dituduh mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana didakwa memiliki buku-buku berunsur keganasan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas.

Pada 29 September 2016 Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Sharif Abu Samah, memerintahkan Aishah dibebaskan, kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa buku-buku dimiliki Aishah itu diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Malah buku-buku tersebut masih tidak diharamkan sehingga hari ini!

Sebaliknya pada 27 Mac 2017, beliau dibawa sekali lagi ke mahkamah dan Mahkamah Rayuan di Putrajaya meluluskan rayuan pendakwa raya untuk menahan semula Siti Aisyah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. [Security Offences (Special Measures) Act 2012].

Dibawah Akta ini seseorang individu yang ditangkap boleh ditahan selama 24 empat jam bagi tujuan penyiasatan.

Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari.

Sewaktu dilepas beberapa tahun lalu, Siti Aisyah telah pakaikan ‘gelang’ peranti pengawasan elektronik, dan perlu melaporkan diri di balai polis, sebagaimana ditetapkan dibawah Akta SOSMA.

Sekarang beliau berada di Penjara Kajang, sehinggalah perbicaraannya selesai dan hukuman diputuskan oleh hakim.