Umno-BN Terus Mempolitikkan Sekolah Dan Institusi Pendidikan

1749

DUNGUN – Menjadi lumrah, dengan ‘bertopengkan’ program yang diadakan untuk pelajar-pelajar sekolah, UMNO ‘tumpang sekaki’ untuk menyampaikan dakyah politik usang mereka.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd. Nor Hamzah berkata, Umno ‘Dulu, kini dan selamanya’ dan akan terus mempolitikkan sekolah-sekolah.

“Ini melanggari ketelusan dalam sistem demokrasi, parti lain dihalang untuk terlibat di sekolah-sekolah tetapi Umno mempolitikkan cikgu-cikgu,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong itu.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi mengulas Majlis Pemuafakatan Pendidikan (Penyampaian Modul UPSR 2017) iaitu program terbaharu UMNO, yang diadakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Dungun.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan sikap kerajaan Umno Terengganu yang mempergunakan guru-guru, sebaliknya dalam masa yang sama, melupakan nasib sesetengah mereka yang disifatkan sebagai telah dianiayai oleh Yayasan Bakti Negara.

“Umno juga mengugut guru-guru yang ikhlas, dan yang berani menegur kerajaan untuk kebaikan,” katanya merujuk kepada kenyataan Menteri Pendidikan Dato’ Seri Mahdzir Khalid sendiri, beberapa mingu lalu.

Sehubungan itu, ADUN Sura, yang juga bekas seorang pendidik YB Cikgu Wan Hapandi Nik berkata, program seperti ini bukan perkara baru, malah telah sekian lama diambil kesempatan oleh Umno.

Umno juga kata beliau mencampuri urusan pendidikan di peringkat Daerah Dungun.

“Hatta (perkara) melibatkan pertukaran guru juga ada campurtangan Umno,” katanya lagi.

Justeru itu, seorang bapa yang ditemui meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Umno-BN.

Penduduk tempatan Fauzi Amrin berkata, majlis tersebut yang diadakan di Arena Square pada 5hb April bertujuan politik.

Menurutnya, beberapa pemimpin yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang, bertemu golongan sasar di kalangan ibu bapa para murid-murid yang akan menduduki UPSR 2017.

“Umno tumpang sekaki untuk menagih (dan merayu) sokongan rakyat sedangkan modul tersebut telah dibayar oleh ibu bapa sendiri sebanyak RM100,

“semasa pendaftaran awal persekolahan……..bukan duit Umno atau duit kerajaan BN, “ jelasnya

Majlis ini yang melibatkan seluruh Daerah Dungun diadakan mengikut DUN masing-masing.

Bagi DUN Bukit Besi ia telah diadakan pada 7hb Mac dan di DUN Paka pada 4hb April, serta akan diadakan di DUN Rantau Abang pada 10hb April nanti.