Bakal Mahasiswa Perlu Lakukan Perubahan

2251

Oleh : MNA

DUNGUN – Bakal mahasiswa perlu melakukan perubahan kepada negara dengan bersegera menyertai program-program kemasyarakatan bagi membentuk diri ketika usia muda dan tidak hanya ketika tua.

Pengerusi Ameerah Terengganu, Puan Zuraida Mohd Nor berkata mereka perlu aktif, progresif, proaktif dan ikhlas bagi mendepani cabaran serta menyelami masalah masyarakat pada masa kini.

Bagi beliau, peserta-peserta Lamega adalah bertuah kerana dipilih Allah menyertai program ini kerana ianya adalah program asas menyiapkan diri sebelum ke menara gading yang sangat mencabar pada zaman ini.

Dengan cabaran kehidupan sosial yang bebas, beliau yang dikenali sebagai Kak Da mahu mahasiswa pandai memilih kawan, kerana golongan yang paling dipercayai seperti keluarga, berada jauh di mata.

“Bagi Kak Da, Kak Da kata adik-adik semua ini sangat bertuah kerana dipilih Allah untuk berada di majlis ini,

“Program Lamega ini membantu adik-adik menyiapkan diri untuk kehidupan yang lebih mencabar apabila diterima sebagai mahasiswa,

“Kak Da menekankan kepada kepandaian adik-adik memilih kawan-kawan kerana keluarga sudah berada jauh dari kita, maka masa inilah kawan-kawan diperlukan bagi membantu kita,

“Dan jika kita kita tersalah pilih kawan, maka kita akan rosak,” pesan beliau kepada semua peserta.

Beliau berkata demikian pada majlis forum di Program Lambaian Menara Gading (Lamega) anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) di sebuah resort di sini pada Jumaat.

Mengimbau kehidupan beliau ketika di menara gading dahulu, Zuraida berkata, telah bergerak secara aktif bagi memberikan kesedaran kepada rakan-rakan beliau yang lain, bagi membina Malaysia yang lebih baik.

Oleh itu, beliau yakin jika majoriti mahasiswa bergerak aktif bermula di kampus menggunakan kepintaran dan ilmu, mereka akan berjaya membentuk masyarakat yang lebih baik berbanding dengan gerakan yang dimulakan ketika tua.

“mahasiswa perlu menjadi luar biasa dan mempunyai minda kelas pertama.

“Sikap tidak mahu bersama masyarakat ketika belajar ini adalah sikap mementingkan diri yang tidak membawa kebaikan kepada diri dan masyarakat,”tegasnya.

Justeru itu, beliau mengajak semua mahasiswi menyertai Ameerah dan mahasiswa membantu Pemuda PAS atau Jabatan Amal kerana terbukti kumpulan ini sangat dekat dengan rakyat marhaen.

Ditanya berkenaan harapan beliau kepada remaja dan belia terutama wanita, beliau percaya zaman mahasiswa ini adalah kemuncak kepada halatuju dan mengharapkan ketaqwaan menjadi aset utama remaja dan belia.

Turut serta sebagai panelis forum ialah YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu.

Program tahunan DPPNT berlangsung di Kliu Agro Farm, Dungun, selama tiga hari dua malam bermula Khamis 9 Mac dan dijangka tamat pada 11 Mac itu disertai kira-kira 130 orang bakal mahasiswa.