HARAP 3.5: Derap Langkah Pintu Menawan Terengganu

2036

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Besut, daerah paling hujung dengan sub budayanya menyamai Kelantan, terkenal dengan kepongahan bangsal tomoi serta hawa politiknya yang panas dalam dekad 80an. Daerah ini mempunyai sejarah politiknya yang panjang, dengan kepelikannya yang tersendiri dalam pelbagai sisi kehidupan. Terkenal dengan kesuburan pondok-pondok serta madrasah agama sebelum Perang Dunia Kedua sehingga ramai para santri yang bermukim didaerah agrarian ini.

Sebelum tertubuhnya PAS Terengganu di Dungun pada tahun 1956, ulama daripada Besut seperti Tuan Guru Haji Wan Abdul Latif, Tuan Guru Haji Abdul Kadir dan lain -lain asatizah telah berhimpun di Maahad Ehya’ As Sharif pada Mac 1948 untuk menubuhkan Hizbul Muslimin. Besut selepas PAS ditubuhkan di Terengganu pada tahun 1956 terus memacu usaha yang bersungguh untuk melebarkan pengaruh gerakan Islam ini seperti yang berlaku pada santri pondok . Pondok Alor Keladi, pondok Bukit Puteri, pondok Haji Wan Latif dan lain-lain lagi menjadi markas perkaderan PAS serta pusat kesedaran untuk rakyat berpayung dengan nilai-nilai Syariah.

Kesedaran beragama yang wujud dengan subur di Besut walaupun berkontradik dengan nilai jahiliah tempatan seperti rodat, rambong, bagih, makyong, main teri, berjudi berlaga ayam, bon berlaga lembu, ilmu hitam. Secara umumnya kekuatan beragama ini mengatasi kebejatan moral, sehingga Parlimen Besut dipilih oleh PAS Pusat untuk diletakkan Yang Dipertua PAS Pusat, Dr Burhanuddin al Helmi untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum 1959. Mantan alumni Universiti Aligarh India ini berjaya mewakili PAS dan menjadi jurucakap rakyat Malaya yang piawai.

PAS yang memenangi Terengganu pada tahun 1959 juga telah menghantar anak Besut sebagai Menteri Besar, iaitu Haji Daud Abdul Samad (ADUN Setiu). Daerah Besut yang melahirkan ramai ilmuan negara dalam dekad 80an seperti Tun Salleh Abas, ratusan pensyarah kampus, namun riuh geger dengan isu perpecahan masyarakat yang cuba diperbesarkan oleh UMNO seperti mana kajian Dr Salleh Lamri (UKM). Pimpinan PAS Besut seperti Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Stimat Jusoh telah ditahan tanpa bicara di bawah ISA pada tahun 1984, bahkan sekali lagi pada tahun 1987 dalam Operasi Lalang.

Daripada sebuah daerah yang subur dengan perjuangan Islam bertukar kompas menjadi kubu UMNO dalam milenia baru, mengapa senario ini terjadi?. Antaranya kerana institusi pondok akhirnya diserap dalam SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan), maka sedikit demi sedikit semangat memperjuangkan Islam digerus tanpa sedar. Warga Besut juga mula mengalami keberhutangan budi apabila Datuk Idris Jusoh dilantik menjadi MB Terengganu pada tahun 2004. Munculnya kontraktor-kontraktor anak Besut yang memperolehi peluang kontrak dan konsesi, anak-anak muda di Besut juga diralikkan dengan pelbagai hiburan. Kesan daripada daerah ini yang sarat dengan hiburan melalaikan ini akhirnya menatijahkan kadar peningkatan penagihan najis dadah dan keterpurukan maklumat serta dibius dengan budaya subsidi yang parah.

Besut tidak menyumbangkan apa-apa kerusi kepada kemenangan PAS Terengganu dalam pilihanraya tahun 2004, 2008, 2013. Pencapaian yang cemerlang yang pernah dicapai ialah pada pilihanraya pada tahun 1999 dengan memenangi empat kerusi DUN dan juga kerusi Parlimen. Maka untuk merengkuh kembali Wisma Darul Iman dalam PRU 14, Besut tidak boleh dipinggirkan menjadi “fix deposit” BN.

Matlamat PAS Terengganu mengadakan HARAP 3.5 di Kampong Raja, Besut untuk menyuntik semangat kepada warga daerah ini untuk melakukan perubahan dan melonjakkan gelombang berterusan pasca himpunan 355 yang sangat menguja akal. Puluhan ribu pengunjung ke himpunan harapan untuk semua (HARAP) yang berlangsung selama tiga hari, sarat dengan pengisian oleh pimpinan PAS.

Tiada yang mustahil dengan izin Allah!, daerah yang agak tercorot daripada majlis-majlis ilmu tak sebagaimana Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus ini akan bangkit semula. UMNO-BN mampu ditewaskan dengan gelombang kesedaran yang semakin mengebu terutama kepada anak-anak muda, akses media baru yang semakin merakyat sehingga ke ceruk desa, tekanan kos kehidupan yang mencekik rakyat dan wajah pemerintah yang sangat buruk kepada rakyat secara umumnya.