Pemimpin UMNO termasuk bekas-bekas Perdana Menteri hanya mementingkan parti (UMNO) melebihi kepentingan umum, umat Islam dan Melayu di negara ini.
PAS Terengganu menyokong hasrat murni Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat mempelawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak berdebat, dalam mencari penyelesaian masalah antara PAS-Umno.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata PAS Terengganu menyambut baik dan sepatutnya UMNO menerima pelawaan itu kerana ianya adalah satu isu yang sekian lama dikemukakan.
“Debat (PAS-Umno) ini bukan perkara baru tapi isu lama dan boleh dikatakan hampir setiap kali bila isu ini berbangkit (ia) akan berakhir dengan kegagalan, kerana UMNO tidak bersedia untuk bersemuka” jelasnya.
Menurutnya, PAS sentiasa bersedia berdebat, berbincang dan bermuzakarah dengan semua pihak bagi mencari titik penyelasaian.
“Perjuangan PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam, adalah menyeluruh, atas kepentingan (Islam), PAS mengambil sikap selama-lamanya bersedia berdebat, berbincang, bermuzakarah dengan semua pihak termasuk dengan UMNO,”tegasnya
Beliau yang juga, Yang Dipertua PAS Marang mempersoalkan tidak ada sebab dalam ajaran Islam tidak boleh berbincang , bermuzakarah dan berdebat..
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Penerangan PAS Setiu, Dr Azman Ibrahim menggesa agar Perdana Menteri berlapang dada dan menerima pelawaan debat tersebut.
Ia adalah penting, katanya kerana rakyat dapat melihat kebenaran samada PAS atau UMNO yang sebenarnya mahu Islam di tegakkan di Negara ini.
“Saya tidak nampak tujuan yang lebih besar dari hasrat Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu selain dari untuk menyatakan kebenaran Islam.
“Perdana Menteri (PM) Dato’ Seri Najib perlu berlapang dada untuk berdebat dengan Tok Guru Mursyidul Am PAS sebagai membukti bahawa dia (Najib) seorang pemimpin yang bersungguh-sungguh mempertahankan maruah UMNO sebagai perjuangan orang Melayu dan Islam,”ujarnya.

























