

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, program Hari Keluarga kali ini bertujuan mendekati seluruh rakyat Bukit Payong bagi mengeratkan hubungan antara mereka bagaikan satu keluarga.
Menurutnya, pendekatan mengadakan program itu juga dibuat bagi menolak dakwaan bahawa Pas hanya untuk ahli Pas kerana dasar Pas ialah Islam dan tiada satu parti dalam negara jelas mengenai dasar perjuangannya.
“Perjuangan Pas bukan sahaja menjanjikan keupayaan Islam untuk mentadbir dan membangunkan negeri dan insan, tetapi menyedarkan ummah mengenai kecelakaan neraka serta kenikmatan syurga.
“Justeru, kita mesti bersepakat untuk menyelamatkan masa depan generasi Islam akan datang dengan kefahaman Islam yang tepat dan pemerintahan Islam yang adil serta sejahtera,” katanya.
Selain kanak-kanak, tinjauan juga mendapati lebih 100 orang terdiri daripada ibu bapa seronok menerusi pengisian program disediakan pihak penganjur. Selain pertandingan, penganjur juga menyediakan khemah untuk peniaga dan pameran-SH



























