MARANG – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyambut baik cadangan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, tetapi PAS tidak gopoh akan membuat kajian terperinci.
Presidennya, Dato’ Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS kini perlu berhati-hati dalam mengadakan kerjasama politik dengan semua pihak.
Justeru, katanya terlalu awal bagi parti itu membuat keputusan mengadakan kerjasama politik baharu dengan mana-mana parti politik pembangkang lain.
Menurutnya, konsep umum yang sedang diperkenalkan oleh PAS adalah politik matang dan sejahtera berdasarkan ‘taawun’ iaitu tolong-menolong dalam perkara baik.


“PAS perlu berhati-hati untuk bekerjasama dengan semua pihak, cuma langkah kita (PAS) sekarang ialah memperkenalkan politik matang dan sejahtera berdasarkan kepada taawun iaitu tolong-menolong dalam perkara baik dan tidak tolong-menolong dalam perkara yang tidak baik.
“Kerjasama dalam perkara baik sama ada dengan kerajaan atau pun pembangkang. Ini konsep umum yang kita (PAS) pegang pada hari ini.
“Terlalu awal untuk kita sebut parti-parti tertentu, terlalu awal untuk kita sebut beberapa penjuru kerana kita (PAS) tidak tahu parti mana yang masuk bertanding dan yang tidak masuk bertanding.
“PAS tetap mempunyai kemampuan dan sejak tahun 1955 PAS sudah masuk pilihan raya. PAS pernah bekerjasama dengan pelbagai parti politik. Kita kaji semua sebab itu tidak gopoh dalam membuat keputusan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya wakil media mengenai pendirian PAS dengan strategi satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, selepas menyampaikan kuliah mingguan pagi Jumaat, di Masjid Rusila, Marang pada 16 September .
Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan bahawa PAS akan melihat kekuatannya berdasarkan laporan dari negeri-negeri.
Katanya, apa guna bagi parti-parti pembangkang lain turut bertanding di kawasan sama yang PAS ada mempunyai kekuatan jentera partinya.
“Kita akan melihat kekuatan PAS itu sendiri. Kita akan mendengar laporan dari PAS negeri-negeri. Jika ada kawasan yang PAS ada kekuatan apa guna parti (pembangkang) lain bertanding,” soalnya.


Katanya, buat masa ini PAS belum lagi membuat pendirian itu kerana akan membuat kajian terperinci.
Namun, kata beliau berdasarkan perkembangan parti itu pada masa kini sangat baik dengan penerimaan rakyat.
“Ya belum ada pendirian lagi (satu lawan satu) kerana kita akan buat kajian secara terperinci. Perkembangan PAS kini sangat baik dimasa mutakhir ini.
“Disamping kita (PAS) pernah menang di Kelantan dan pernah menang di Terengganu dan kita pernah memerintah Kedah dan pernah cuba memerintah negeri Perak, (PAS) pernah menyertai kerajaan campuran di Selangor.
“Kerajaan (Malaysia) ini akan berubah, ianya tidak kekal selamanya akan berubah. Sebab itu tidak boleh kita membuat kenyataan lebih awal kerana perubahan boleh berlaku bila-bila masa sahaja,” jelasnya.
Menjawab persoalan kemungkinan PAS mengadakan kerjasama politik baharu dengan parti DAP, Dato’ Seri Abdul Hadi menegaskan tidak dengan parti yang menentang Islam.
“(Dengan) DAP mungkin tidak (ada) kerjasama kerana sikap DAP yang tidak berubah, menentang Islam. Terus teranglah saya sebut dia (DAP) menentang Islam, menentang agenda Islam,” tegasnya.




























