Seluruh negara hari ini dikejutkan dengan berita pemergian seorang Tokoh Murabbi Ummah, Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din. Pemergian beliau menjadi satu kehilangan besar buat Ummah dan perjuangan Islam PAS.
Allah berfirman didalam kita sucinya,dalam surah Ali ‘Imran ayat 145′:
وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ كِتَابًا مُؤَجَّلًا ۗ وَمَنْ يُرِدْثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الْآخِرَةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا ۚوَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ
“Setiap yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barang siapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala (dunia) itu, dan barang siapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala (akhirat) itu. Dan kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali ‘Imran: 145).
Semua mengenalinya pasti menjadi saksi bahawa Almarhum disepanjang hayat telah menzahirkan istiqamahnya dalam usaha dan perjuangan agar tertegak Islam yang syumul khususnya syariah di bumi Malaysia tercinta ini.
Sumbangan dan komitmen tinggi telah diteladani Almarhum menjadikan beliau bintang bergemerlapan dalam kalangan kita dan tentunya seorang Tokoh Ummah yang sukar dicari ganti.
Saya mewakili seluruh ahli dan pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din di atas pemergian Almarhum pagi tadi.
Semoga Allah SWT menempatkan roh Almarhum bersama para Nabi, Siddiq, Syuhada dan Solihin.
“Inilah Penyelesaian Kita”
Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
14 Zulhijjah 1437H / 16 September 2016M











