Hari Raya Haji atau Aidil Adha disambut oleh umat Islam di seluruh dunia, bersempena dengan ibadah haji yang menjadi rukun Islam ke lima yang juga mengambil pengajaran serta memberi kita peringatan tentang pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S. dan keluarganya yang telah berjaya menyempurnakan seluruh perintah Allah.
Sesungguhnya, tiga watak utama yang akan disebut serta diingati setiap kali perayaan qurban ini disambut, selain Nabi Ibrahim, anaknya Nabi Ismail dan isterinya Siti Hajar, yang telah membuktikan keyakinan mutlak mereka kepada Allah, dengan patuh apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah tanpa soal.
Mereka sekeluarga juga telah menolak daripada ‘syirik’ iaitu mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dan membuktikan kepada dunia, mereka adalah contoh manusia yang bertaqwa kepada Allah, sebenar-benarnya.
Sehubungan itu, Ibadah haji pula adalah merupakan syiar Allah yang begitu besar yang mana, menerusinya, manusia tidak dibezakan dan membezakan, di antara satu sama lain melainkan mereka yang benar taqwanya kepada Allah.
Begitu juga ibadah menyembelih binatang yang dilakukan sempena hari raya ini, adalah tanda kesyukuran manusia kepada Allah di atas segala nikmat yang tidak terperi banyaknya dan hanya sanya kedua-dua amalan saling berkait itu, ibadah haji dan korban, bermatlamatkan TAQWA kepada Allah jua.
“لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ”
[Al-Hajj:37]
” Tidaklah sampai kepada Allah oleh daging dagingnya dan segala darahnya, tetapi sampai kepadanya sifat taqwa daripada kamu, begitulah kami jadikan kamu dapat menguasai binatang binatang itu untuk kamu supaya kamu membesarkan Allah di atas pemberian petunjuknya kepada kamu, dan berilah berita gembira kepada orang orang yang berusaha supaya baik amalannya ”
Bahkan, kita semua yang pernah melalui dan mereka yang sedang berada di Mina ketika ini, menerusi ibadah haji juga, para hujjaj diminta untuk melakukan suatu pengistiharan dengan menolak secara total akan seruan dan dakyah dari segala syaitan, iblis dan sekutunya.
Justeru itu, sayugia sempena Aidil Adha hari ini, marilah kita membersihkan pemikiran dan amalan kita serta akidah kita daripada syirik dan sebarang fahaman yang memesongkan kita dari pengabdian diri kita kepada Allah.
Saya juga mengajak seluruh kaum muslimin dan muslimat agar sama sama kita menghayati dengan sebenarnya akan segala perkara yang tersirat dan tersurat di sebalik peristiwa ibadah ‘qurban’ yang telah berlaku itu.
Bagi pihak seluruh saf kepimpinan PAS Negeri Terengganu di semua peringkat dan ahli-ahli serta penyokongnya, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidul Adha.
Mudah mudahan kita menjadi hambanya yang sentiasa bertaqwa.
YB Ustaz Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
10 Zulhijjah 1437H bersamaan 12 September 2016.











