Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
“Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah!” ujar seorang tokoh mahasiswa aliran kiri pada tahun 1960-an.
Ya, ungkapan ini ada kebenarannya yang tersendiri apabila kita menyemak lipatan sejarah mengenai episod perubahan politikdan sosial yang berlaku di seluruh dunia sejak zaman-berzaman. Rasulullah SAW dibangkitkan dengan anak-anak muda yang berani menentang arus jahilliah serta sanggup berdada dan menyinsing lengan dengan penguasa yang zalim.


Kampus universiti ataupun apa sahaja institusi pendidikan adalah wadah paling ideal untuk mencanai pemikiran anak muda, mengasuh mereka menjadi pemimpin dan menuang idea-idea besar dalam minda mereka, yang mendidih dengan semangat untuk mengubah masyarakat. Julat umur awal 20-an adalah takat umur yang sedang mengisar dengan pantas ilmu dan maklumat.
Sejarah dunia ini dilakarkan warnanya oleh anak-anak muda kerana mereka mempunyai kekuatan semangat, cita-cita, keazaman dan idealisme untuk merubah dan menjadi agen perubahan. Di zaman imperialisme Barat, anak-anak muda bangkit menentang penjajah di seluruh belahan dunia. Jose Rizal yang mengungkapkan idealismenya lewat karyanya Noli Me Tangere (1887) dan El Filibusterismo (1891) adalah ikon perjuangan menentang penjajah di Filipina sehingga membawa kepada pembunuhan beliau secara tragis. Seterusnya huk balahap dan gerakan katipunan terus menggempur penjajah malah gerakan mahasiswa di Filipina terus bernyawa di zaman Marcos sehingga regim Marcos berantakan lewat demonstrasi anak-anak kampus di jalan raya-jalan raya di Manila.


Hassan al-Banna (1906-1949) juga adalah seorang anak muda ketika menubuhkan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah, Mesir pada tahun 1928 sehingga gerakan ini menjadi sangat fenomenal pada abad ke-20. Almarhum yang merupakan lulusan Darul Ulum telah memindahkan markas operasi Ikhwanul Muslimin ke Kaherah pada tahun 1933 kerana mempertimbangkan penyebaran pengaruh Ikhwanul Muslimin kepada pelajar-pelajar al-Azhar yang datang dari segenap penjuru dan belahan dunia. Ternyata eksperimen ini membuahkan hasil apabila pelajar-pelajar yang mendapat fikrah Ikhwan telah menyebarkan idea-idea perjuangan Ikhwan ke negara asal masing-masing.
Kampus al-Azhar yang mulia akhirnya membawa pulang fikrah Ikhwan ke pelbagai negara; Sheikh Muhammad Mahmud Sawwaf ke Iraq, Dr. Mustapha Bugha ke Syria, Dr. Zulkifli ke Tanah Melayu dan sebagainya. Dari kampus negara masing-masing pula fikrah itu tersebar luas, ia adalah ajakan untuk kembali mendaulatkan Islam sebagai sistem kehidupan.


Sejarah juga telah mencatatkan Revolusi Bolshevik 1917 di Rusia telah digerakkan oleh anak-anak muda kampus yang telah diindoktrinkan dengan fahaman komunisme, Tzar Nicholas dan kelas Borgouis akhirnya menggelongsor dari sangkar merak kayangannya. Tenaga anak muda telah melakar lanskap baru wajah negara adijagat komunis itu. Anak kampus meriuhkan tema kebebasan di Moscow sehingga merebak dengan pantas di negara beruang merah itu sehingga negara itu semakin dijengah ekonomi pasaran bebas.


Sarekat Islam telah memberikan saham yang besar kepada bangsa Indonesia, bahkan dilihat gerakan Islam yang lebih awal ditubuhkan berbanding Ikhwanul Muslimin. Dalam sejarahnya, kader-kader Sarekat Islam banyak mengerakkan organisasi Islam lain setelah berantakan dipukul penjajah Belanda.
Anak kampus adalah hero kebangkitan rakyat Indonesia. Soekarno adalah pemimpin mahasiswa dinamis yan dikeluarkan dari Kolej Teknologi Bandung. Pidatonya yang memukau telah membangkitkan semangat anak-anak muda untuk berjuang dan berkorban di bawah panji ‘sang saka merah putih’. Juga anak muda seperti Bung Tomo dengan pidato seperti halilintar yang membakar semangat yang dingin.


Langit sejarah Indonesia terus dipahat dengan citra anak muda yang rusuh dan berani menyanggah. Pada tahun 1965 ketika Soekarno digulingkan oleh Jeneral Suharto, anak muda kampuslah yang menggerakkan kesedaran politik rakyat sehingga kebobrokan pemerintahan regim Suharto berjaya digulingkan.
Sekali lagi anak-anak kampus daripada jalur ideologi yang pelbagai telah merentap kekuasaan Suharto pada era reformasi 1998 (kumpulan daripada aliran sosialis seperti FORKOT dan KAMMI daripada aliran dakwah). Sehingga kini kampus-kampus universiti di Indonesia terus memunculkan kesedaran kepada rakyat tentang hak-hak mereka, bersama denyut nadi rakyat dalam pelbagai isu. Indonesia sentiasa hangat dengan anak-anak pemberani dalam menyuarakan pelbagai isu.


(Penulis ialah AJK PAS Pusat, penulis dan pendakwah)




























