PAS bersedia untuk menyediakan platform bagi memberi penerangan khusus kepada ahli parlimen bukan Islam mengenai Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016. Kesediaan ini bertitik tolak dari perlunya kepada sesi penerangan yang lebih jelas dan terperinci mengenai akta berkenaan berikutan masih ramai dikalangan ahli parlimen terutamanya yang bukan Islam yang tidak mendapat penjelasan yang sebenar mengenai pindaan Akta 355.
Sehingga kini pun, PAS telah menampilkan pimpinannya dalam pelbagai peringkat untuk menyertai wacana, forum dan penerangan kepada pelbagai pihak dan lapisan masyarakat bagi memberi pencerahan mengenai isu pindaan Akta 355 ini.
Insya Allah PAS tidak akan jemu untuk memberi penerangan terutamanya kepada bukan Islam sambil mengharapkan mereka juga dapat menilai dengan serius dan saksama dan bukan mengambil sikap tidak memperdulikan penjelasan semata – mata kerana sentimen kepartian atau sikap prejudis terhadap Islam.
Isu mengenai pindaan Akta 355 telah mendapat reaksi orang ramai sejak usul pindaan tersebut dibentangkan pada sidang parlimen yang lalu. Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan terdapat pandangan yang dilontarkan menyeleweng atau sengaja diselewengkan daripada fokus sebenar pindaan tersebut.


Justeru, PAS yakin medan penerangan secara khusus dan berterusan ini dapat memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk memberikan penjelasan sepenuhnya mengenai pindaan yang dicadangkan. Diharapkan agar platform berkenaan dapat menyuntik sedikit sebanyak kefahaman mereka mengenai Islam dan dapat membuat pilihan yang tepat kelak.
Terbaru, PAS menghantar YB Dato’ Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung PAS ke wacana Sinar Harian yang membincangkan topik “Pindaan Akta 355 Antara Realiti dan Persepsi” yang turut dihadiri pemimpin daripada DAP dan MCA.
Sekian.
Inilah Penyelesaian Kita
Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat


























