Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) telah mengadakan dialog bersama Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan & Selangor, Datuk Haji Aslah Abdullah semalam di pejabatnya. Objektif dialog tersebut adalah untuk mendengar dan mendapatkan penjelasan beliau berhubung kesan perkhidmatan Uber/GrabCar dan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) pertengahan bulan lalu.
Dialog hampir dua jam tersebut telah membincangkan banyak perkara penting antaranya mengenai aspek kawal selia dan penguatkuasaan terhadap perkhidmatan Uber/GrabCar. Perkhidmatan teksi tertakluk kepada syarat pematuhan perniagaan dan akta, manakala Uber/GrabCar bebas, tiada kawalan dalam bisnesnya. Perkara tersebut telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pengusaha teksi dan Datuk Aslah menganggap perkhidmatan Uber/GrabCar sebagai ‘Prebet Sapu’. Layanan tidak adil tersebut telah menyebabkan berlaku kerosakan dalam pasaran dan industri teksi.


Turut hadir bersama delegasi yang diketuai oleh Ir. Hj Khairil Nizam (Ketua DPPWP) adalah timbalan ketua, Saudara Nurul Islam Mohamad Yusoff dan setiausaha, Saudara Ubaid Akla. Hasil dialog ini, pihak DPPWP akan mengadakan kajian intensif, membuat beberapa cadangan penambahbaikan terhadap Program Transformasi Industri Teksi (TITP) dan akan menyerahkan satu memorandum kepada pihak SPAD dalam masa terdekat. DPPWP juga menjemput Datuk Aslah untuk menghadiri Kongres Rakyat peringkat Wilayah Persekutuan yang dijadual akan diadakan pada 25 September 2016 sebagai platform yang lebih efektif untuk membahaskan isu-isu yang melibatkan industri teksi. Setakat ini, beliau telah menyatakan persetujuan untuk hadir.
IR Hj KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS
Wilayah Persekutuan



























