Walaupun ada dakwaan yang mengatakan bahawa struktur organisasi PAS Perak terjejas teruk berikutan dakwaan sebahagian ahlinya keluar namun keadaan membuktikan sebaliknya.
Menolak tohmahan sesetengan pihak itu, Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kangsar, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, PRK kali ini telah menyaksikan gerak kerja yang tersusun, membuktikan yang dakwaan terjejas itu jauh tersasar.
“Setakat ini saya tidak nampak satu halangan yang memberikan satu impak besar terhadap apa yang berlaku.
Walhal dan saya melihat tindakan mereka sendiri apabila memberikan, maaf saya cakap, satu tindakan menikam belakang kita.


“Menunjukkan PAS sangat ‘sustain’ ataupun berpegang dengan prinsip setiakawan kita sehinggakan kita sendiri dikhianati oleh rakan kita, bukan kita yang mengkhianati mereka,” tegas beliau.
Beliau ditemui di Markas Induk PRK Kuala Kangsar di Bukit Chandan sebelum mesyuarat harian jawatankuasa PRK Kuala Kangsar.
Bagi beliau lagi, rakyat boleh menilai sendiri akan kejadian yang berlaku dan yakin bahawa PAS telah meninggalkan kesan positif yang cukup besar di mata rakyat atas pegangan dan prinsip yang sekarang sudah ternyata kebenarannya.
Tinjauan yang dijalankan menyaksikan hampir keseluruhan gerak kerja PAN didominasikan oleh ahli-ahli DAP, sekaligus menyaksikan sebenarnya merekalah yang terjejas teruk dengan ketiadaan ahli-ahli PAS yang dikenali sangat komited dengan kerja-kerja parti.
Akhirnya, sebagai Pengurus Kempen Calon Kuala Kangsar, Dr Raja Ahmad Iskandar menyeru para pengundi agar memberikan kepercayaan kepada calon PAS pada 18 Jun nanti kerana PAS terbukti sebagai sebuah parti yang boleh dipercayai.
“Rakyat, pengundi boleh melihat, sebenarnya inilah parti ataupun gerakan yang sewajarnya dipilih kerana setia dengan kawannya, setia dengan prinsipnya dan tidak mengorbankan prinsip demi untuk mendapatkan kuasa semata-mata,” ujar beliau.





























