Jutaan Terima Kasih Kepada Semua!

1747

Alhamdulillah, Himpunan Harapan Semua (HARAP 3.3) anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang telah berlangsung pada 24 – 27 Febuari 2016 di Padang Mengkuang DUN Pengkalan Berangan, Marang menunjukkan kejayaan kita semua warga PAS Kawasan Marang selaku tuan rumah penganjuran kali ini.

Kejayaan menjadi tuan rumah HARAP 3.3 kali ini sangat membanggakan lebih-lebih lagi ia pertama kali diadakan bersama Ekspo dan Karnival Jualan.

Selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga PAS Kawasan Marang, khususnya tenaga pemuda, muslimat dan Ulama’ serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan Himpunan Harapan Semua HARAP 3.3 kali ini.

IMG_20160229_015836Penghargaan lebih khusus lagi diberikan kepada Pemuda DUN Pengkalan Berangan dan Majlis Tindakan Dun (MTD) Pengkalan Berangan kerana kerja keras tanpa mengenal penat lelah sejak dari awal hingga selesai program.

Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada tuan tanah dan mereka yang telah mewakafkan bangunan berhampiran bagi menjayakan Harap 3.3 yang baru sahaja melabuhkan tirainya.

Saya juga selaku ketua unit persiapan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah membantu saya melaksanakan tanggungjawab yang berat ini sehingga kita semua mampu untuk mempersiapkan prasana harap 3.3 dengan jayanya.

Saya mengharapkan Himpunan yang kita sama-sama jayakan itu, menambahkan lagi tekad dan meningkatkan semangat juang untuk bekerja keras bagi mengambil alih Dun Pengkalan Berangan dalam PRU ke-14 akan datang sekaligus merealisasikan hasrat dan cita-cita ke Wisma Darul Iman. InsyaAllah.

Semoga segala penat lelah, tenaga, buah fikiran dan harta benda serta wang ringgit yang telah dicurahkan dikira dan dihitung sebagai amal yang soleh serta Jihad Fisabilillah oleh Allah S.W.T. .

Sekian, Terima Kasih

“HARAPAN UNTUK SEMUA”
“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

SULAIMAN SULONG
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang
Ketua Persiapan HARAP 3.3