Selamat Tahun Baru; Mudah-mudahan Ia Menjadi Tahun Yang Sangat Baik

952

Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengambil kesempatan ini, dengan mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Tahun Baru Cina buat seluruh masyarakat Tionghua di Malaysia.

PAS percaya serta yakin bahawa masyarakat Tionghua di Malaysia akan terus-menerus mempunyai keazaman dan semangat baru ke arah melaksanakan perubahan bersama dalam negara kita ini. Perubahan ini tidak boleh berlaku tanpa persefahaman dan hubungan baik antara kaum-kaum yang ada dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

IMG-20160206-WA0075PAS juga percaya serta yakin bahawa masyarakat Tionghua dalam Malaysia ini, mampu memainkan peranan yang lebih aktif, terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi yang menjadi asas penting dalam struktur ekonomi negara.

PAS juga berkeyakinan bahawa asas untuk mewujudkan keharmonian yang lebih kukuh di Malaysia sudah semestinya berteraskan kepada keadilan sejagat terhadap semua kaum, terutamanya kepada kelompok masyarakat yang tertinggal akibat dari ketidakadilan yang berlaku sepanjang 50 tahun lebih ini.

Pembentukan sayap penting Dewan Himpunan Penyokong PAS juga turut menjadi bukti bahawa PAS ingin lebih memahami kehendak dan keperluan pelbagai rumpun masyarakat di Malaysia yang turut sama-sama menyumbang kepada pembentukan negara Malaysia yang lebih sejahtera. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.

Mudah-mudahan tahun baru ini akan membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua, dan mudah-mudahan ia menjadi tahun yang sangat baik, malah lebih baik dari yang terdahulu khasnya dari segi ekonomi dan politik buat negara kita yang tercinta dan seluruh dunia amnya.

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

06 Februari 2016 / 26 Rabiulawwal 1437 H