Muliakah Aku, 30 Tahun Akan Datang Mendustakan Kebenaran?

1945

Seorang Perdana Menteri bukanlah orang yang mulia dan seseorang pegawai kerajaan itu mungkin disanjung kerana berjasa dalam kerjanya tetapi agama menilai manusia secara berbeza.

IMG_20151120_014711Tiga puluh tahun yang lalu, pada bulan ini, aku masih belum mempunyai pekerjaan. Mundar mandir, tanpa pegangan. Sistem dunia diajar sejak dari darjah satu, ‘yang mulia’ itu mereka yang bercita-cita menjadi kaya, menjadi senang akan dijunjung tinggi dan dipandang hebat.

Masa itu aku tak tahu tentang politik yang menetapkan agenda segalanya. Aku cuma hairan bagaimana seseorang anak pemimpin itu boleh menjadi kaya seumpama bapanya, dan menjadi senang serta di puji orang.

IMG_20151120_013850Anak penoreh getah macam aku memang tiada banyak peluang, anak wakil rakyat di kawasan aku boleh keluar negeri walaupun tak pandai belajar. Kemudian balik dan menggantikan tempat bapanya apabila meninggal dunia, dan kekayaan kekal menjadi milik mereka. Bapanya walaupun menjadi wakil rakyat tapi ada sebuah kilang papan, dan anaknya mewarisi kekayaan membina mahligai 15 bilik, apabila mengambil alih tempatnya, bertanding dan menjadi wakil rakyat pula.

Kemudian ada kekosongan dalam satu DUN berhampiran, adiknya pula dicalonkan bertanding, dan menang menjadi Yang Berhormat pula.Tiada siapa yang mempersoalkan tentang kredibiliti, yang mencanggah akan dipulau orang kampung dan disisihkan.
Pada waktu darjah 6 di sekolah kebangsaan, lebih 30 tahun yang lalu, terpapar berita di televisyen, tentang keganasan samseng berbangsa Cina ‘Botak Chin’ yang merompak dan menyamun serta membunuh manusia lain. Kemudian ia ditangkap dan dihukum gantung. Maka wajarlah ia mati begitu, menurut undang-undang dunia kerana kejahatannya. Tiada siapa yang mempersoalkan siapa dan kenapa boleh jadi begitu.

IMG_20151120_013438Tetapi pada 30 tahun lalu, dalam umur remaja ku, hatiku terdetik apabila mendengar dan melihat berita, tentang polis menembak mati orang Melayu di negeri Kedah, yang diulang-ulang, aku pun tak tahu apa sebabnya,

Cuma aku ditanamkan ‘doktrin’ bahawa mereka itu adalah pengikut ‘ajaran sesat’, menentang kerajaan, dan menentang pihak polis. Tidak ada siapa yang mempersoalkan, kerana percaya ia adalah perbuatan baik kerajaan, bagi menjaga keamanan. Namun dalam hati ku terdetik, mengapa kerajaan membunuh rakyat sendiri, tanpa mereka itu ada rekod dan berita sebelumnya, yang terbukti melakukan kekacauan seperti ‘Botak Chin’.

Pada suatu hari ketika menghadiri perjumpaan kawan-kawan, disebuah rumah pegawai kerajaan, aku terjumpa buku bergambar yang menyiarkan berita berwarna tentang pihak kerajaan dan pihak polis membunuh seorang yang dikatakan ‘ekstremis’.

IMG_20151120_013504Hati kecil ku mula bertanya bagaimana agama ku sendiri, aku seorang Islam dan kerajaan itu orang Islam dan ramai polis itu juga orang Islam, bolehkah bunuh membunuh?
Tapi perasaan menjadi tenang kembali, kerana mereka dikatakan kononnya ‘pemberontak’ yang menentang kerajaan, dan dibunuh kerana menentang kerajaan.

Ya…….?Penentang kerajaan boleh dibunuh begitu sahaja!

Setelah aku kembali mempelajari agamaku yang selama ini aku tidak peduli, sedang aku seorang Islam, tetapi tidak pernah menilik dalam diri, apakah Islam itu.

Tidak ada sesiapa yang berhak mengambil nyawa sesiapa sahaja, melainkan, mereka dibuktikan melakukan kesalahan oleh mahkamah. Botak Chin telah dibuktikan melakukan serangan, merompak dan membunuh, maka wajarlah ia dihukum gantung. Tetapi tidak pula aku mendengar sebelumnya, cerita tentang ‘gangster’ Melayu yang bernama ‘Ibrahim Libya’ yang merompak dan membunuh orang lain.

IMG_20151120_012443Sehingga kini, sesudah 30 tahun berlalu, tidak pun mana-mana mahkamah yang dapat membuktikan ‘Ibrahim Libya’ adalah seorang ‘pengganas’ yang wajar ditembak dan mati begitu sahaja, tanpa apa-apa soal siasat, kerana beliau adalah seorang yang begitu zalim, yang menentang raja-raja Melayu, kerajaan persekutuan, perdana menteri dan pegawai-pegawai polis.

Bahkan dengan jelas, Sultan Kedah sendiri telah menziarahi perkuburannya bersama 14 lagi orang awam yang telah mati ditembak dalam satu kejadian yang dipanggil ‘Peristiwa Memali’

Apakah wajar, pada 30 tahun akan datang, aku berkata kepada anak cucu cicitku, yang mungkin menjadi perdana menteri, atau menteri, atau pegawai kerajaan, bahaw mereka itu dibunuh kerana menentang kerajaan, tanpa ada soal siasat dan perbicaraan di mahkamah yang membuktikan mereka bersalah?

Adakah aku seorang yang mulia disisi agamaku, sekiranya aku masih hidup 30 tahun akan datang dan memberitahu anak cucu cicitku, bahawa ‘Ibrahim Libya’ wajar ditembak kerana beliau adalah seorang pengganas yang melawan kerajaan dan raja yang berdaulat?