Oleh : Azizah Mahmood
KUALA TERENGGANU – Bencana yang datang biasanya membuatkan mangsa trauma dan pelbagai persoalan kehidupan timbul sehingga ada mangsa yang kebingungan, menangis mengenang nasib yang melanda.
Dua musibah yang berlaku pada masa yang hampir sama di Parlimen Kuala Terengganu, dikongsi kesedihannya oleh pemimpin PAS.
Tragedi kebakaran yang pertama berlaku pada Ahad 8 November adalah di Kampung Bemban, Tanjung, berhampiran Sultan Zainal Abidin kira-kira jam 1.10 petang, dimana sebanyak lapan buah kedai dan empat buah rumah kayu hangus keseluruhannya.


Manakala kebakaran yang kedua terjadi selang masa lebih kurang dua kemudian, di Kampung Durian Burung, sekitar jam 3.30 petang.
Mengulas situasi yang berlaku Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Terengganu Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, PAS berkongsi kedukaan mereka yang diuji oleh Allah.


Kejadian yang melibatkan sebuah Kedai runcit, dan dua buah rumah itu berlaku dengan pantas tanpa tuan rumah sempat melakukan apa-apa.
Puan Norizan Endut, 55, yang tinggal bersama dua anaknya dan empat cucu berkata, kebakaran disedari bermula dari percikan api.


“sekarang saya menumpang rumah anak di Batu Buruk, ini rumah (yang terbakar) peninggalan suami saya,” jelas beliau yang masih terganggu dengan kejadian itu.
Sebelum dikunjungi rombongan Kebajikan Muslimat, beliau berkata, ADUN Wakaf Mempelam Haji Mohd Abdul Wahid Endut merupakan antara yang awal datang.
Beliau bersama isterinya bergegas ke tempat kejadian, sebaik mendapat khabar tentang kebakaran tersebut.




























