Kerosakan LPT2 Sudah Bermula Lama Dahulu

1388

KEMAMAN – Kerajaan dan pihak yang terbabit dengan penilaian serta audit Lebuh Raya Pantai Timur Fasa2 (LPT2) dipohon mempercepatkan kajian, dan mendedahkan segera hasilnya kepada umum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai Haji Hanafiah Mat berkata, apa-apa kerosakan yang berlaku kepada lebuh raya itu mestilah diperbaiki segera bagi mengurangkan risiko kemalangan maut.

“Selepas diperiksa kerajaan wajib membentangkan hasil kajian itu kepada umum dan kemudian mengambil tindakan segera atas apa jua cadangan yang diberi,

“Ia amat penting bagi mengurangkan risiko kepada para pengguna yang melalui lebuh raya itu,”tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas program solat hajat dan munajat, memohon keselamatan dari Allah yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Kemaman di Hentian Sebelah Kijal, di sini pada Isnin malam 26 Oktober.

Hanafiah menyifatkan, masalah yang dihadapi sekarang pada laluan dari pantai timur ke pantai barat itu bukanlah terjadi serta merta, secara semula jadi tanpa ada apa-apa sebab.

IMG_20151028_021614Beliau menganggap ia mula berlaku semenjak projek tersebut diagih-agihkan ‘secara tidak telus’ kepada syarikat-syarikat yang terbabit dengan pembinaannya.

“Penyakit ni bukan baru……..macam kita manusia lah, bukan terus kena kencing manis, tapi ia bermula kerana kita makan dengan cara yang tidak sihat,

“Begitu juga soal berkait dengan pembangunan dan pembinaan, sebagai contoh LPT2 ini, ia bermula apabila projek ini diagih-agihkan kepada kontraktor yang ada ‘kaitan dengan parti yang berkuasa,”jelasnya.

Lebih teruk lagi, kata Penolong Setiausaha PAS Terengganu itu, apabila beberapa pakej pembinaan gagal disiapkan mengikut jadual.

“Dah tahu dah…….kontraktor tu bermasalah……..tak mampu siapkan projek, serah balik kepada kerajaan, tapi malangnya………beri semula kepada kontraktor yang sama,

“Saya pun dapat maklumat, semasa pembinaan ada berlaku, kakitangan kerajaan yang terpaksa akur kepada kontraktor………sedangkan sepatutnya kontraktor menurut spesifikasi yang ditetapkan dan kerja mesti dilakukan menurut arahan pegawai,”tambah beliau.

Seramai 300 orang hadir ke program munajat ‘mohon keselamatan serta dijauhi bala bencana kepada pengguna LPT2 itu yang dimulakan dengan solat maghrib secara berjamaah, diikuti dengan bacaan surah Yasin dan solat hajat.

Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS Kemaman Ustaz Alias Abdul Hamid berharap para pengguna LPT2 sentiasa berhati-hati dan berhemah di jalanraya.

“khususnya di LPT2 yang telah mengorbankan lebih 80 nyawa, saya mendoakan keselamatan untuk semua,

“dan semoga Allah menjauhkan bala bencana dari terus berlaku di sepanjang lebuhraya ini,”katanya dalam ucapan ringkas pada program itu.

Selasa lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, satu badan penilai bebas sudah dilantik untuk membuat penilaian keadaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Katanya, laporan awal badan penilai itu dijangka siap dalam masa seminggu.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, LPT2 sejauh 184 kilometer itu dari Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Nerus mencatat 1,989 kes kemalangan dan meragut 85 nyawa sejak beroperasi pada Januari 2011.