

“Saya berpendapat walaupun agak awal, kita akan bertanding di kawasan itu (Manik Urai) apabila telah diumumkan kekosongannya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kalau di (pilihan raya kecil DUN) Penanti, kita tidak bertanding atas sebab yang kita dah sebutkan, yang ini kematian telah menyebabkan kekosongan berlaku,” katanya sebagaimana dilaporkan agensi Bernama
Muhyidin turut memberi amaran kepada PAS, jangan terlalu yakin dan menganggap kawasan Manik Urai adalah kawasan tradisi yang boleh dimenangi dengan mudah oleh PAS.
“PAS jangan terlalu yakin bahawa ini kawasan mereka dan akan menang seperti biasa. Kita akan bertanding,“katanya
Kerusi DUN Manik Urai menjadi kosong berikutan penyandangnya Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu pada pukul 5.55 pagi ini kerana sakit jantung selepas dimasukkan ke hospital itu untuk menerima rawatan sejak bulan lepas.
Allahyarham Ismail yang mewakili PAS mula memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai pada pilihan raya umum 1985.
Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak mempertahankan kerusi itu, sebaliknya Zamzuri Mat Lazim dinamakan calon PAS tetapi beliau tewas kepada calon BN Mohamed Zulkepli Omar dengan majoriti 53 undi.
Ismail dipilih semula bertanding kerusi Manik Urai pada pilihan raya umum tahun lalu dan menewaskan calon BN Mohamed Zulkepli dengan majoriti 1,352 undi .



























