MARANG – Kampung Kubu, Pengkalan Berangan menjadi saksi akan kepetahan dan kelunakan anak-anak pelajar PASTI mempersembahkan pelbagai acara dalam sebuah program Alam Ria dan Jamuan Aidilfitri peringkat PASTI Marang baru-baru ini.
Alam Ria yang merupakan acara tahunan mempertandingkan sebanyak 8 acara iaitu Nasyid, Kalam Jamaie, Azan, Khutbah, Hafazan, Pidato, Sajak dan Bercerita.
Dalam penganjuran tahun ini, kumpulan nasyid dari PASTI As-Syirah, Kg Bukit Kulim dari DUN Pengkalan Berangan dinobat sebagai juara bagi pertandingan nasyid.
Lagu nasyid bertajuk ‘Mari Berhibur’ dan ‘Makna Al-Fatihah’ yang menjadi persembahan dan alunan suara paling menarik membolehkan kumpulan berkenaan diumumkan sebagai juara.
Ditanya mengenai persediaan yang telah dilakukan sehingga digelar johan, Puan Zubaidah Ghani selaku guru pembimbing bagi kumpulan nasyid As-Syirah berkata,
“Persediaan yang di buat bermula awal bulan Julai. Setiap hari cuma dalam 10 minit sahaja diperuntukkan untuk latihan. Latihan dilakukan berulang ulang setiap hari sehingga ke tahap ini.
“Perasaan sangat teruja bilamana berjaya walaupun kekurangan masa untuk buat latihan. Dengan kemenangan ini, kumpulan nasyid As-Syirah diamanahkan untuk mewakili kawasan Marang ke Alam Ria Negeri yang bakal berlangsung 22 Ogos nanti di Kemaman”. ujarnya lagi disamping meminta didoakan kejayaan anak didiknya di Alam Ria peringkat negeri nanti.
Hadiah kemenangan berupa pingat dan hamper disampaikan oleh Pengarah Jabatan PASTI Negeri Terengganu, Ustaz Sulaiman Sulong, yang turut hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian penutup.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau mengucapkan tahniah buat Jabatan PASTI Marang atas kejayaan menganjurkan progr dua dalam satu ini. Beliau turut mendedikasikan ucapan penghargaan buat guru-guru PASTI yang berjaya mengasah bakat anak-anak PASTI.
Beliau terharu dengan bakat yang digilap oleh guru-guru PASTI selari dengan visi PASTI iaitu melahirkan kanak-kanak soleh pintar di Malaysia melalui pendidikan pra sekolah yang berteraskan Islam.
Beliau berucap demikian dihadapan 500 hadirin yang terdiri daripada ibu bapa, guru, pelajar, dan juga penduduk di sekitar Kampung Kubu.
“Walaupun tidak menang. Tetapi sekurang-kurangnya kehadiran kita ke sini amat bermakna dalam menjayakan aktiviti PASTI Marang. Bagi pihak PASTI Negeri dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) saya merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan,
“Dokongan dan kepercayaan yang berterusan yang diberikan para ibu bapa sekalian. Kita mengharapkan hubungan yang harmoni dan baik ini terus berkekalan bagi memudahkan segala urusan antara ibu bapa, guru dan pihak pengurusan PASTI”. tambahnya lagi yang juga merupakan Ketua DPPKM.





























