Republik Besut?

2470

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Asalnya ia hanya status fb biasa saja. Berbentuk komentar ringan bernada gurauan mengulas mengenai satu pihak yang nak mengadakan himpunan di Jerteh pada 31 Ogos baru-baru ini.
Ditulis pula dengan bahasa Ibunda orang Besut…

“Tengok poster napok ada orang nak mari ceramah di Besut 31 hb ni. Ambo nak pesan sikit saja. Besut tu Republik weeh! Tempat orang gedeber. Jangan kecek kokser kokdang. Ambo kenal orang kampung ambo. Bimbang ada hok balik ada telur atas dahi. Ambo tolong peringat jah. Jangan maroh.”

Orang Besut yang baca status ni hanya gelak saja. Kerana mereka faham apa maksud saya. Gurauan atau gelaran Republik Besut dah digunakan semenjak saya belum lahir lagi. Ianya bermaksud Orang Besut dengan kedudukan geografi mereka menyebabkan mereka ada karakter yang tersendiri, bukan Kelantan dan bukan juga Terengganu. Bukannya bermaksud nak tubuh sebuah Negara Republik yang ada Presiden sendiri!
Malah biasa saja orang-orang Besut sekitar KL yang tampal pada kereta mereka pelekat tertulis, GENG REPUBLIK BESUT. Kawan-kawan yang sama-sama duduk di asrama sekolah di Kuala Terengganu dulu biasa saja bergurau bila hari Khamis, “Hari ni ambo nak kelik ke Republik Rakyat Besut!” Ianya adalah open joke dan bukannya secret joke yang difahami oleh sesiapa sahaja di Besut.

Rupanya ramai juga yang tak tahu menahu perihal adat tempatan.

Saya menerima panggilan pada satu tengah malam dari seorang peguam yang bersama dengan pasukan yang sedang menjaja harapan baru lalu mengugut untuk membuat laporan polis. Katanya posting fb saya boleh dikategorikan sebagai ugutan jenayah. Lalu saya lampirkan posting tersebut kepada seorang rakan peguam di Kuala Terengganu yang berasal dari Besut untuk mendapatkan komentarnya. Loyar kawan saya ni kata, “Loyar korok kering lagu tu!” Satu jawapan yang cukup untuk mengambarkan bagaimana tahap pemikiran seorang loyar yang sedang menjaja harapan baru.

Ada seorang wartawan akhbar internet bertaraf arus perdana menghubungi saya untuk bertanya, “benarkah saya nak katok orang GHB bila mereka mari Besut?” Hehehe… saya jawab, “awak orang media, tak kan lah awak pun baca selapis macam orang lain juga. Ada saya sebut nak katok orang GHB? Saya pesan, Jangan kecek kokser kokdang! dengan makna dalam majlis ceramah nanti kena bercakap berhati-hati. Bimbang ada yang bercakap terlebih lajak dari laju, maka akan berlakulah tindak balas yang tak diingini dari masyarakat setempat.”

Saya juga dihubungi oleh pihak keselamatan bertanya berkenaan dengan apa maksud Republik Besut? Apakah ianya bermakna nak tubuh sebuah Republik di Besut???
Saya tanya balik anggota keselamatan tersebut, “Kalau awak bukan orang Besut, awak tolong cari mana-mana anggota keselamatan berasal dari Besut yang sepejabat dengan awak dan tolong tanyakan soalan yang sama yang awak tanya kepada saya. Mesti kawan awak tu akan tergelak besar!”

Saya sangkakan perkara sekecil ini dah berakhir. Rupa-rupanya masih ada lagi yang tak puas hati.

Semalam ketika sidang media YM Tengku Seri Paduka Raja untuk mengumumkan beliau keluar dari PAS di Kuala Terengganu, di samping 3 muka surat kenyataan akhbar yang diberi kepada wartawan, ada satu lagi lampirannya ialah gambar posting fb saya tersebut yang turut diedarkan kepada media. Digariskan dengan dakwat merah pada perkataan REPUBLIK. Dimaklumkan kepada media yang kebetulan dihadiri oleh ramai teman-teman media yang rapat dengan saya bahawa status fb ini antara punca beliau dan anakanda saudaranya Ahli Parlimen Kuala Terengganu keluar PAS!
Kononnya perkataan REPUBLIK menimbulkan rasa tidak senang keluarga Diraja. Ada seorang Umno yang berada di situ semasa sidang akhbar turut mencelah, “… nak tubuh Republik Besut maknanya nak lawan Sultan!” Sehingga ada rakan-rakan media yang hampir tergelak. YM Tengku Seri Paduka Raja juga mengesyorkan supaya pihak polis menyiasat isu Republik Besut ini!

Patik hanya seorang rakyat biasa Tengku. Pitih pun tak dok. Kuasa lagilah tak dok. Masakan seorang pacal yang hina seperti patik boleh menyebabkan YM seperti Tengku dan anakanda saudara Tengku keluar parti?

Umum mengetahui bahawa Ahli Parlimen Kuala Terengganu dah lama terlibat dengan program-program GHB. Status fb saya baru saja keluar. Tiba-tiba ia dijadikan antara sebab!

Saya menyedari bahawa Tengku yang hidup dalam istana yang tentunya ada batasan dengan masyarakat luar. Lebih menyedihkan bila saya menyedari ada pihak yang berkepentingan memperalatkan Tengku dengan mengelirukan Tengku dalam hal ini untuk memanaskan lagi keadaan.

Saya syorkan Tengku mari jalan-jalan ke Besut, jadi seorang rakyat biasa, pergi ke kedai-kedai kopi dan tanya mereka apa maksud gurauan Republik Besut. Tentu Tengku akan ketawa sendirian bila mengingatkan balik apa yang telah Tengku maklumkan kepada pihak media.

Soal Tengku nak keluar dari PAS, itu hak Tengku. Tetapi menjadikan posting fb saya sebagai antara sebab adalah terlalu boleh dipertikaikan. Maaf sekali lagi dari Patik.