Terengganu, Malaysia
Kenyataan Media

Istiqamah Diatas Jalan Yang Lurus

mOHD nOR hAMZAH

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat ilahi atas kejayaan kita menyempurnakan ibadah puasa kita selama sebulan dengan berbagai cara untuk kita sama-sama merebut pahala yang dijanjikan Allah. Gembira kita kerana kita dengan yakin dan percaya bahawa Allah menerima segala amal kebaikan kita bersesuaian dengan firman Allah dalam sebuah hadis qudsi “Allah bersesuaian sebagaimana sangkaan hambaKu kepadaKu”. Gembira kerana mengenang janjiNya untuk menjadikan orang yang berpuasa dengan ikhlas sebagai golongan muttaqin dan diampunkan dosa-dosa yang lalu. Gembira juga kita mengenang kemenangan tentera Islam dalam banyak peperangan di bulan Ramadhan dan Syawal terutamanya Perang Ahzab. Kemenangan yang sungguh bermakna kepada kita semua kerana tentera kuffar yang bersekutu, menyerang dari luar dan dalam, yang benar-benar menggegarkan jiwa dan keimanan para mukmin dan akhirnya mereka berjaya kerana tetap dan kedap kaki mereka dan beristiqamah mereka di atas jalan Allah dan rasul.

Tidak kurang bezanya kita semua pada waktu ini, walaupun tidak sehebat ujian golongan sahabat, tetapi dengan segala kemudahan teknologi yang digunakan oleh musuh, dengan segala bantuan manusia dari dalam dan luar jemaah kita, dengan berbagai umpan material telah digunakan semaksimum mungkin bagi menghancurkan fikrah kita. Kita tetap bertahan dan kita tetap berpegang kepada prinsip Islam yang sebenar-benarnya dan hanya satu jalan yang akan menuju keredhaan Allah iaitu jalan para rasul lalui.

Manakala kita juga sebenarnya merasa sedih dengan berlalunya Ramadhan ini kerana, kita tidak tahu adakah kita akan bertemu kembali dengannya bagi merebut ganjaran yang dijanjikan. Adakah kita telah menjalankan tanggungjawab kita kepada Allah dengan sebaik-baiknya pada tahun ini? Kita juga turut bersedih dengan berbagai masalah yang menimpa negara, terutama di bulan Ramadhan yang lalu, berbagai-bagai fitnah, tuduhan dan sebaran ditujukan kepada semua pihak yang terkadang kita tidak tahu yang mana satukah yang benar. Dibulan Ramadhan mereka juga tidak putus-putus membuat dosa. Tetapi yang pasti, kehidupan rakyat semakin terjerut dengan segala macam kesusahan dengan cukai, kejatuhan nilai mata wang. Nama Malaysia tersebut di seantero dunia dengan kisah yang memalukan dan memualkan. Cukuplah bagi rakyat untuk sedar akan perkara asas ini. Asas bahawa amanah apabila jatuh ke tangan yang salah, akan menyebabkan bala datang, bukan sahaja kepada pembuat bala, tetapi kepada semua. InsyaAllah, yakinlah hanya jalan Islam sahaja jalan yang lurus dan menyelamatkan manusia sejagat.

Semoga kegembiraan akan kunjung tiba tidak lama lagi. Moga kita dapat melihat cahaya di hujung terowong. Cahaya yang memberi sinar kepada kesejahteraan negara kita ini dan paling utama cahaya itu ialah cahaya Islam yang menyinari bukan sahaja Malaysia malah dunia keseluruhannya. InsyaAllah, beristiqamahlah kita di atas jalan Islam yang lurus ini, Allah menjanjikan kemenangan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
29 Ramadhan 1436 bersamaan 16 Julai 2015

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan