Dengan penuh takzim saya mohon supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Besut tak memaksa penerima bantuan bulanan kebajikan wajib hadir di majlis berbuka puasa bersama PM di Imtiyaz esok. Alasannya, bantuan untuk bulan Julai akan diagihkan di majlis ini. Yang tak hadir tak dapat!
Beberapa orang penerima dari kalangan warga emas sekitar Dun Jabi telah menyuarakan sungutan mereka berkaitan arahan ini kepada saya.


Bantuan kebajikan bulanan adalah hak mereka yang layak. Majlis berbuka puasa bersama PM tak ada sebarang kaitan dengan penerima bantuan kebajikan. Kalau mereka nak hadir, maka silakan. Kalau mereka tak nak hadir, terpulanglah kepada mereka. Kenapa nak dinafikan hak mereka untuk menerima bantuan hanya kerana tak hadir majlis PM?
Tak cukup dengan pelbagai agensi kerajaan yang diwajibkan menghantar peserta ke majlis ini, akhirnya orang-orang tua turut ‘menjadi mangsa’.
Saya risau mereka juga akhirnya akan menjadi melukut di tepi gantang dalam sebuah majlis yang penuh berprestij sebegini.
Kos untuk menganjurkan majlis berbuka puasa ini pun sudah kelihatan mengerunkan…
Dr Azman Ibrahim
Ketua Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu.
5 Julai 2015.



























