AMK Minta Kerajaan Tutup Kilang Top IT

1318

http://buletinonline.net/images/stories/berita32/kilangretak.gifKUALA TERENGGANU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kuala Nerus, Ahmad Zawawi Ngah meminta Kerajaan Negeri mengarahkan bangunan Top IT Industries Sdn Bhd, Gong Badak ditutup sehingga ia selamat digunakan.

Menurutnya, pendedahan berhubung kerosakan dan keretakan yang berlaku pada bangunan Top IT itu perlu dipandang serius sambil memberitahu, ia membimbangkan pihaknya kerana menganggap pekerja di kawasan berkenaan diancam bahaya.

(Gambar – sekurang-kurangnya terdapat 5 keretakan pada kilang Top IT yang dapat dilihat dengan jelas dari luar bangunan. Ia merupakan kerosakan kekal sebagaimana dinyatakan dalam Laporan Jabatan Audit Negara)

“Kerajaan perlu bertindak sekarang dan sepatutnya ia ditutup serta disiasat berhubung situasi sebenar bangunan itu, lebih-lebih lagi statusnya yang dikatakan tidak mendapat Sijil Akuan Kelayakan Menduduki (CF).

“Saya sendiri pernah mendengar rungutan beberapa pekerja mengenai bangunan yang tidak selamat ini sehingga ada yang lebih suka berada di luar jika selesai melakukan tugasan kerana menganggap ia tidak selamat. Keretakan yang berlaku di bahagian luar bangunan itu bukan kecil, tetapi besar,” katanya.

Beliau yang tidak mahu melihat bangunan itu senasib dengan bangunan lain yang pernah runtuh sebelum ini turut menasihatkan supaya tindakan awal lebih baik bagi mencegah sebarang perkara tidak diingini kerana ia melibatkan berpuluh-puluh nyawa.:

“Jangan pula mereka mahu bertindak selepas runtuh. Kita takut jadi macam stadium dan bangunan-bangunan lain, lebih malang kalau ia menyebabkan nyawa pekerja melayang,” katanya.