Mari Kita Selamatkan Bumi dan Warga Yaman!

1513

“Telah datang ahli Yaman, mereka adalah orang yang selembut-lembut hati dan selembut-lembut sifat…Iman itu di Yaman, dan Fiqh itu di Yaman, dan Hikmah juga di Yaman” – (Hadis Sahih; riwayat Muslim)

IMG-20150606-WA0167Kami merasa terpanggil untuk mewujudkan ‘Save Yemen’ (Selamatkan Yaman) ini berikutan episod kezaliman dan kemelut pertelingkahan yang kian berlarutan di bumi iman dan hikmah itu, hingga telah menyebabkan berlakunya perang saudara di sana.

Peperangan yang tercetus itu seperti yang dilaporkan oleh pelbagai mediaraya, turut meninggalkan kesan penganiayaan kepada masyarakat termasuk kanak-kanak dan kaum wanita. Juga sehingga mengorbankan berbilang jiwa serta kecederaan serius kepada golongan awam.

Visi ‘Save Yemen’ adalah untuk membuka mata masyarakat Malaysiadan seluruh dunia tentang kemelut yang melanda negara Yaman. Merealisasikan cita-cita untuk membantu mangsa-mangsa yang teraniaya akibat peperangan saudara yang berlaku.

Manakala kami meletakkan Misi ‘Save Yemen’ Berusaha untuk mengumpul dan menyebarkan maklumat atau berita daripada sumber-sumber yang rasmi, cepat, tepat, lagi diyakini. Berusaha untuk memberi kefahaman kepada rakyat Malaysia berkenaan keadaan terkini di Yaman. Berusaha untuk tidak mengadili mana-mana pihak yang terlibat secara langsung dalam polemik politik yang telah mencetuskan perang saudara di Yaman.

IMG-20150606-WA0168Dan kami berusaha untuk membuka ruang simpati insani di dalam diri masyarakat Malaysia bagi sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan berusaha untuk menjadi gerakan kebajikan, atau pun jika berkemampuan menjadi sebuah badan rasmi bukan kerajaan (NGO) bagi menggerakkan misi kemanusiaan ke bumi Yaman.

Cita-cita dan harapan kami adalah menyeru masyarakat Malaysia, khasnya umat Islam di negara ini dan masyarakat pelbagai etnik di seluruh dunia, agar turut bersama-sama menyokong usaha kami dalam menunjukkan sikap cakna dan kasih sayang kepada sesama insan di bumi Yaman yang ditimpa musibah getir dan penuh likuan kesengsaraan.

Pesan Nabi SAW: “Tidak beriman seseorang kamu, sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri” – [HR. Bukhari & Muslim]

#Save Yemen
Saifullah Bin Hasbu,
Pengarah Save Yemen