PAS mendesak siasatan segera dapat dilakukan dalam kes pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX) oleh Tabung Haji. Tindakan pihak pengurusan tertinggi Tabung Haji pada hari ini yang mengumumkan penjualan tanah tersebut adalah suatu yang menjanggalkan. Hal ini kerana ia bukanlah penyelesaian kepada isu pokok iaitu mengapa wang Tabung Haji dipergunakan untuk bail out 1 MDB..?
2. Adakah tindakan pengumuman penjualan tanah tersebut dibuat demi meredakan kemarahan orang ramai kepada pengurusan Tabung Haji ketika ini.? Jaminan kononnya sudah pun terdapat 3 pihak yang berminat untuk membeli tanah tersebut tidak lebih sekadar untuk melengkapkan drama indah ini apatah lagi Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sendiri mengakui bahawa keputusan ini dibuat hasil daripada panggilan telefon PM Najib kepada beliau pada pagi ini.
3. Jelas membuktikan, pihak pengurusan Tabung Haji bertindak hanya apabila tembelang rahsia mereka terbocor. Dan ini bermakna jikalau tidak ada pendedahan dibuat maka mereka akan terus secara diam-diam menggunakan wang Tabung Haji untuk menyelamatkan 1 MDB yang hampir karam itu.
4. Justeru, PAS menggesa siasatan suruhanjaya bebas dapat dilakukan segera demi mempertahankan institusi Tabung Haji yang dimiliki ummat Islam di Malaysia ini. Pihak yang berkepentingan di dalam hal ini perlu disiasat dan diambil tindakan yang tegas kerana bersekongkol dengan 1 MDB yang sedang dilanda masalah teruk.
YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS
Pengerusi Penaja Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Tabung Haji
9 Mei 2015











