Saya merujuk kepada arahan merobohkan rumah-rumah di Kampung Banggol Donas yang dijadualkan esok 13 April 2015. Saya teramat yakin YAB MB Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sedang mencaturkan pergerakan yang salah dan akan memakan dirinya dengan mempersetujui keputusan perobohan ini.
Seperti yang kita maklum, kes ini masih boleh dan akan dibawa ke peringkat mahkamah persekutuan sebagai jalan terakhir penduduk untuk mempertahankan tanah mereka dan yang mereka sifatkan sebagai maruah mereka.


Saya mengingatkan YAB MB agar mengimbau kembali kerakusan-kerakusan mantan MB-MB yang lalu dalam menangani masalah rakyat. Perobohan Masjid Bujal, rumah yang sedang dibina di Setiu, mengambil semula tanah-tanah yang telah diberikan kepada rakyat dengan menggunakan pelbagai helah. Itu semua telah kita saksikan. Adakah YAB cuba menyambung kerja-kerja kotor ini? Pastinya imej YAB MB akan turut roboh dengan robohnya rumah-rumah rakyat ini. Ingatlah doa orang yang teraniaya tiada hijab antaranya dengan Allah.
Saya juga menyeru agar semua lapisan masyarakat yang mampu hadir untuk sama-sama ke Kampung Banggol Donas esok Isnin 13 April 2015 bagi menyertai penduduk Kampung Banggol Donas mempertahankan “maruah” mereka esok.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu
22 Jamadilakhir 1436 bersaman 12 April 2015


























