Umno Sokong Parti Gerakan Saman Kelantan, Halang Laksana Hudud

1451

Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan sebulat suara Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015). Namun, belum pun sempat ia dibawa ke peringkat seterusnya Parti Gerakan, rakan UMNO di dalam Barisan Nasional telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi memohon deklarasi pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan. Apa yang dikesalkan ialah UMNO masih berdiam diri dan tidak pula menegur parti rakan komponennya itu.

2. Adakah tindakan UMNO berdiam diri ini adalah merestui perbuatan Gerakan itu.? Hal ini akan membuatkan sokongan yang diberikan oleh 12 orang ADUN UMNO di dalam Sidang DUN Kelantan itu bersifat politik kerana UMNO takut akan terus ditolak oleh rakyat Kelantan jika mereka menolak Enakmen Kanun Jenayah Syariah II tersebut.

3. UMNO hendaklah berlaku jujur dan tidak bersandiwara di dalam ini. PAS mendesak UMNO nyatakan pendirian rasmi secara terbuka dengan segera kerana jika tidak rakyat akan melihat UMNO sendiri gagal menegur gelagat parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan yang begitu lantang menghalang pelaksanaan Hudud di Kelantan.

Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS