Kerajaan Digesa Semak Fatwa Tentang GST

1130

KUALA TERENGGANU – Perlaksanaan sistem cukai GST adalah satu tindakan kerajaan merampas harta rakyat dengan secara paksa dan tanpa sebab-sebab yang ‘muktabar’.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr. Ustaz Khairuddin Aman Razali berkata tindakan itu bertentangan dama sekali dengan tujuan sesebuah kerajaan itu ditubuhkan.

“salah satu matlamat sesuatu kerajaan itu ditubuhkan adalah untuk memelihara harta rakyat, tiada seorang rakyat pun yang boleh diambil hartanya, melainkan dengan sebab yang syar’ie (mengikut hukum syarak),

“apabila sesebuah kerajaan melanggar pemilikan rakyat tanpa sebarang maslahah yang muktabar maka ia berlawanan dengan tujuan sesebuah kerajaan itu ditubuhkan dalam Islam,”jelasnya.

Beliau berkata, hari ini kerajaan telah menggubal undang-undang untuk merampas harta rakyat tanpa sebab yang syar’ie dan tanpa maslahah yang muktamar iaitu melalui undang-undang sistem percukaian GST.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Menjunjung Kasih Titah Yang Dipertuan Agonng pada Rabu 11 Mac di Dewan Rakyat.

Screenshot (796)Oleh itu, beliau mendesak agar fatwa keharusan GST yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-106, yang bersidang pada 21-22 Oktober lalu disemak semula.

“saya telah menyatakan beberapa hujah bahawa GST bercanggah dengan prinsip percukaian Islam, Secara ringkasnya, ia haram dikutip kerana tidak menepati 3 syarat pengharusan cukai dalam Islam iaitu kerajaan benar-benar terdesak memerlukan cukai untuk menampung keperluan negara.

“Apabila disemak belanjawan negara ternyata realitinya kerajaan masih mempunyai sumber selain cukai GST yang boleh dioptimumkan bagi menambah hasil pendapatan negara tanpa perlu mengenakan cukai GST,”ujarnya

Katanya, keperluan mendesak itu berlaku bukan kerana ketirisan dan pemborosan dalam perbelanjaan.

Realitinya, kata beliau, kerajaan masih berboros dalam berbelanja sehingga berlaku belanjawan defisit 18 tahun berturut-turut dan masih berlaku ketirisan dalam pengurusan perbelanjaan negara sehingga dianggarkan antara RM23 bilion hingga RM40 bilion setahun sebagaimana semakan berdasarkan Laporan Audit Negara.

Selain itu, tegasnya, cukai sepatutnya hanya dikenakan kepada golongan berkemampuan yang mempunyai pendapatan melebihi keperluan.

“GST dikenakan berasaskan perbelanjaan dan perkhidmatan bukannya berasaskan pendapatan menyebabkan individu rakyat yang tidak mempunyai lebihan pendapatan boleh guna juga terpaksa membayarnya.

“Contoh yang paling mudah ialah setiap rakyat yang mengeluarkan wang menggunakan kad bank daripada ATM berbeza (MEPS) akan dikenakan caj 6 sen GST selain RM1 caj perkhidmatan MEPS.

“Sedangkan orang yang mengeluarkan duit barangkali seorang miskin yang tidak mencukupi pendapatannya untuk keperluan seharian,”hurai beliau.

Justeru, beliau bersedia untuk bertemu dengan Majlis Fatwa bagi berbincang mengenai masalah tersebut yang akan memberikan kesan kepada ibadah umat Islam.

“Saya sendiri dengan rendah hati bersedia untuk hadir jika dipanggil oleh Jawatankuasa Fatwa bagi mewakili PAS untuk menyatakan pandangan syarak berkenaan masalah ini,”tambahnya