Pemergian Tok Guru Nik Aziz; Muslimat Saran Cawangan Baca Al-Quran

1563

Saya bagi pihak Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat atas pemergian Tuan Guru menemui Penciptanya di saat kepimpinan beliau masih diperlukan.

Perasaan sedih amat dirasai oleh pemimpin, penyokong dan semua rakyat yang sentiasa menunggu-nunggu curahan ilmu darinya. Masih terasa terngiang-ngiang suara Tuan Guru dalam ceramah, kuliah dan celoteh beliau menjelaskan isu-isu agama kepada seluruh masyarakat.

Sehubungan itu, atas keprihatinan dan tanda kasih pada almarhum, DMPNT mencadangkan seluruh muslimat dan orang muda Terengganu agar sama-sama kita membaca al-Quran mengikut cawangan, Dun dan Kawasan masing-masing mengikut juzuk, untuk kita hadiahkan kepada arwah Tok Guru yang kita kasihi. Ini sebagaimana yang telah disarankan sendiri oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, YB Siti Zailah Mohd Yusof.

Aktiviti ini boleh dibuat di rumah atau di markaz masing-masing. Saya mohon agar ketua muslimat di semua peringkat menyusun program ini di peringkat masing-masing di seluruh Terengganu.

Segala jasa dan perjuangan almarhum menjadi inspirasi kepada kami untuk meneruskan sunnah perjuangan ini kerana Allah. Kami mendoakan agar Almarhum mendapat pengampunan Allah dan rohnya dihimpun bersama para syuhada’ dan solihin. Amin.

Puan Safinah Jusoh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu

http://youtu.be/aOqQi0H_XJA?list=UUHUY6hxgBZ0oRyY28yPJk8Q