Guan Eng Tidak Perlu Beri Kata Dua Kepada Presiden PAS

1541

PAS menegaskan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak perlu memberi kata dua kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang supaya menghadirkan diri dalam mesyuarat Pakatan Rakyat kerana rekod kehadiran beliau sendiri dipersoalkan.

“Lim juga tidak hadir dalam kebanyakan mesyuarat,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dipetik oleh Mstar.

Mustafa berkata Hadi tidak bertanggungjawab untuk menjawab kepada jawatankuasa eksekutif pusat DAP apabila ia melibatkan soalan sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas amaran Lim bahawa mesyuarat Pakatan tidak akan diteruskan pada Ahad sekiranya Hadi tidak menghadirkan diri.

“Presiden PAS akan hadir tetapi bukan kerana desakan DAP,” kata Mustafa.

Mustafa berkata beliau menjelaskan kepada Lim bahawa PAS tidak pernah bersetuju untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Katanya, PAS juga tidak akan menyentuh mengenai hudud dalam mesyuarat pada Ahad walaupun Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menggesa PAS untuk menerangkan berhubung agenda tersebut di Kelantan.

“Kami memerlukan sesi berasingan untuk membincangkan hudud,” katanya.

PAS juga mengesahkan tidak akan menyertai mana-mana demonstrasi menyokong Anwar apabila Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan rayuan kes liwatnya pada Selasa.

“PAS tidak akan turut serta walaupun kami menyokong Anwar. Kami akan serahkan (keputusan) kepada mahkamah,” kata Mustafa.