Pada Khamis, 20.11.2014 saya telah membaca satu artikel perniagaan antarabangsa dalam portal The New York Times bertajuk “Chinese Interests Look to Malaysia for Cheap Iron Ore, and Profits” yang ditulis oleh Keith Bradsher. Artikel berkenaan bertarikh 19.11.2014.
Artikel tersebut antara lain melaporkan syarikat perlombongan dari China, CAA Resources, telah mendapat hak melombong bijih besi di Bukit Besi, Terengganu bagi kawasan berkeluasan hampir 1,000 ekar yang dibahagikan kepada 2 kompartmen kurang daripada 500 setiap satu.
Artikel tersebut melaporkan Pengerusi yang juga Ketua Eksekutif CAA Resources, Li Yang telah mendapat hak melombong bijih besi tersebut melalui hubungan dengan pemimpin politik parti pemerintah tempatan (Negeri Terengganu) dan kebangsaan serta kerabat diRaja.
Beliau juga dilaporkan telah membayar sejumlah USD100,000.00 kepada ahli politik parti pemerintah yang mempunyai kepentingan secara tidak langsung dalam dalam usaha perlombongan tersebut, bagi mendapatkan gelaran “Dato”. Li Yang mengatakan perbuatan tersebut menjadi amalan biasa di Malaysia.
Artikel tersebut juga telah mendedahkan CAA Resources telah mengelak daripada menyediakan laporan kesan alam sekitar dengan membahagikan kawasan melombong kepada 2 bahagian yang setiap satunya berkeluasan kurang daripada 500 ekar.
Saya dapati laporan dalam artikel tersebut mengandungi banyak unsur rasuah, salah guna kuasa dan ketidakpatuhan undang-undang awam dan mendesak supaya siasatan menyeluruh dijalankan. Sekiranya terdapat bukti-bukti semua unsur di atas, pihak yang terlibat hendaklah dikenakan pendakwaan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa.
Sekian, aduan saya.
Y.B Haji Saiful Bahri bin Mamat
Pesuruhjaya PAS Terengganu
ADUN Paka
24 November 2014











