Situasi Yaman Tidak Stabil; Permaya Terima ‘Evakuasi’ Kerajaan Malaysia

1086

Bismillah..

…وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan sembahyang…

Di kesempatan ini saya ingin mengungkapkan puji dan syukur yang tidak terhingga untuk dipersembahkan kehadrat Ilahi di atas segala nikmat dan kurnia. Selawat dan salam ditujukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw sebagai tanda kecintaan terhadapnya. Tidak lupa juga doa dan selamat sejahtera kepada seluruh muslimin dan muslimat yang telah meninggal dunia mahupun yang masih hidup.

Situasi di Yaman

Berdasarkan pengamatan dan soal selidik yang telah dijalankan, hasil dari maklumat syeikh-syeikh di sini, tuan-tuan guru, masyarakat setempat dan tulisan-tulisan samada di dada akhbar mahupun di internet, memberi petanda bahawa “krisis politik” yang melanda di negara Yaman kali ini mungkin akan berpanjangan dalam tempoh yang tertentu. Oleh itu, tindakan kerajaan yang meluluskan proses evakuasi untuk para pelajar disaat ini adalah suatu langkah yang tepat sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.

Permaya selaku persatuan pelajar yang bernaung di bawah kedutaan Malaysia di Yaman juga bersetuju dengan tindakan yang telah diambil oleh kerajaan. Dan kami sentiasa berada di belakang pihak kedutaan demi untuk kebaikan rakyat Malaysia khususnya terhadap para pelajar. Kami tidak mahu mengambil sebarang risiko yang boleh membahayakan keselamatan dan nyawa orang lain.

IMG-20141015-WA0033Walaupun kedengaran suara-suara yang tidak bersetuju dengan evakuasi ini, namun kami terpaksa bertindak demikian sesuai dengan pepatah melayu “sediakan payung sebelum hujan”. Kerana kami bukan ingin menjadi hero tetapi lebih kepada menjaga kebajikan umum dan menjalankan amanah semata.

Terima kasih semua

Alhamdulillah, setelah 3 minggu bertungkus-lumus mengatur dan menguruskan segala perkara berkaitan “operasi menyelamat” rakyat Malaysia di Yaman khususnya para pelajar yang berada di Sanaa’. Akhirnya usaha tersebut hampir selesai.

Ucapan terima kasih tidak terhingga dirakamkan kepada kerajaan Malaysia yang telah menyalurkan bantuan melalui pejabat Kedutaan Malaysia ke Yaman di Sanaa’. Terutama kepada TYT Duta Besar Malaysia ke Yaman, Encik Abdullah Faiz bin Mohd Zain dan seluruh pegawai kedutaan yang lain. Terima kasih di atas segala pengorbanan dan kerja keras kalian.

Tidak lupa juga kepada seluruh rakyat Malaysia, NGO-NGO, badan-badan kebajikan, persatuan dan wartawan yang turut serta memberi sumbangan samada berbentuk wang ringgit, sokongan moral, doa dan sebagainya. Semoga segala jasa kalian diberi ganjaran pahala oleh Allah swt di akhirat kelak.

Kepada petugas bilik operasi. Hanya ucapan jutaan terima kasih yang dapat diberikan. Ingatlah, usah dikenang penatnya berkerja. Kenanglah pahala yang akan Allah berikan kepada kamu.

Pohon maaf atas segalanya

Dikesempatan ini juga kami dari barisan Exco Permaya dan petugas ingin memohon ribuan kemaafan terutama kepada “mangsa pelarian” atas segala kekurangan dan kelemahan. Kepada ibu bapa, wartawan dan yang bertanyakan soalan melalui email dan juga facebook, maaf juga terhadap kalian jika sekiranya ada yang kami tidak sempat menjawab atau memberi maklum balas.

Akhir kata, terima kasih sekali lagi kepada semua. Doakan perjalanan kami berjalan lancar dan selamat tiba di tanah air.

Terima kasih semua. Thank you everybody. شكرا لكم.

“Permaya Di Hatiku”
“Ukhuwah Dierat Menjulang Syariat”

Muhammad Nasiruddin bin Othman
Presiden
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman