Wujudkan Suruhanjaya Bebas Menyiasat Kertas Soalan Bocor

1847

Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan [NGO PENDIDIK] ingin melahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM] dan Lembaga Peperiksaan Malaysia [LPM] atas insiden soalan UPSR yang ‘bocor’ bagi matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris 1 & 2 tahun 2014. Implikasi yang berlaku adalah peperiksaan bagi matapelajaran tersebut telah ‘ditangguh’ dan ‘ditunda’ ke tarikh 30 September 2014 iaitu lebih dari 2 minggu atau 20 hari dari tarikh asal.

Sudah pasti peristiwa ini telah ‘mencalar’ imej KPM dan ‘integriti’ LPM sehingga akan timbul keraguan di kalangan ibu bapa, pelajar, warga pendidik dan masyarakat bagaimana ianya boleh berlaku sedangkan UPSR adalah konotasi kata bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah bagi anak-anak yang berusia 12 tahun.

Persoalannya adalah di mana letaknya ‘kejujuran’ dan ‘sifat amanah’ yang ada pada ‘orang dalam‘ yang diberi mandat untuk membuat soalan dan ‘menggubal dasar’ jika perkara yang melibatkan anak- anak berusia 12 tahun bagi UPSR di sekolah rendah pun boleh berlaku. Sudah pasti ia suatu peristiwa yang amat memalukan dan mencalar imej Kementerian Pendidikan Malaysia dalam persada pendidikan negara.

Selain daripada peristiwa ini menjadi suatu sejarah dan titik hitam bagi calon UPSR tahun 2014 yang jumlahnya kira-kira seramai 472 175 orang di seluruh Malaysia ini, ianya sudah pasti menyebabkan mereka berasa kecewa dan secara tidak langsung faktor ini sedikit sebanyak telah menjejaskan emosi pelajar dan motivasi anak-anak UPSR. Berkemungkinan besar juga motivasi diri akan ‘menurun’ kerana mereka terpaksa menjalani peperiksaan bagi 3 kertas matapelajaran tersebut pada 30 September 2014 sedangkan sepatutnya peperiksaan UPSR yang bermula pada 9 sehingga 11 September 2014 sepatutnya telah tamat pada hari Khamis, hari ini.

Bukan setakat itu sahaja, malahan perancangan bercuti dan ‘mood merdeka’ selepas menghadapi peperiksaan UPSR yang sepatutnya tamat sebelum cuti penggal persekolahan yang bermula pada 12 sehingga 21 September 2014 pasti tergendala dan merosakkan ‘mood’ bercuti anak-anak UPSR dan keluarga.

Suatu ‘Suruhanjaya Bebas’ perlu dibentuk seberapa segera untuk menyiasat insiden yang berlaku agar kejadian yang sama tidak akan berulang pada peperiksaan yang lain seperti SPM, STPM atau PT3.

cikgu malaSehubungan dengan itu, ngo PENDIDIK mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia menyiasat perkara ini secara terperinci dan mengheret pihak yang bertanggungjawab ‘membocorkan soalan’ UPSR ini ke muka pengadilan agar hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran kepada semua agar bersifat ‘telus’, berintegriti dan jujur dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dalam bidang pendidikan di Malaysia.

Harus diingat bahawa apa yang berlaku ini merupakan ‘sejarah hitam’ dan ‘cerminan gambaran budaya yang tidak sihat’ dan sedang disaksikan oleh generasi pewaris kepimpinan masa depan hanya kerana sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab.

Bagi warga pendidik yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan dan pihak sekolah pula, sudah pasti rasa kecewa ini dikongsi bersama sebagaimana perasaan yang dihadapi oleh ibubapa dan anak-anak UPSR kerana kejadian ini akan menyebabkan berlakunya pertambahan tugas. Warga pendidik yang terlibat akan sekali lagi akan menjadi pengawas peperiksaan. Kementerian Pendidikan Malaysia dan Lembaga Peperiksaan Malaysia pula menanggung kesan dari segi tugas dan pertanggungjawaban seperti menggubal soalan dan pertambahan kos pengendalian peperiksaan UPSR kerana kos percetakan soalan ulangan bagi 3 kertas iaitu matapelajaran bagi kertas Sains, Bahasa Inggeris 1 & 2.

Walau bagaimana pun, kami ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga pendidik dan semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan amanah demi masa depan anak bangsa di Malaysia. Semoga insiden yang berlaku tidak melemahkan semangat warga pendidik, ibu bapa dan pelajar untuk terus berperanan dalam menyumbang dan mencurah bakti sebagai rakyat Malaysia.

Akhir sekali ngo PENDIDIK menyeru kepada semua terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM], Lembaga peperiksaan Malaysia [LPM] dan pihak yang bertanggungjawab agar membuat ‘refleksi’ dan muhasabah diri untuk menilai hikmah ‘tersirat’ dan ‘tersurat’ atas apa yang berlaku demi masa depan pendidikan generasi masa hadapan.

Nilai amanah, akauntibiliti serta menjunjung tinggi nilai murni integriti, sikap jujur, dan bertanggungjawab harus ada kepada semua pihak yang terlibat agar profesionalisme perguruan dan martabat pendidikan akan terus dihormati dalam persada pendidikan negara.

PUAN NORMALA BT SUDIRMAN
Presiden,
Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan [NGO PENDIDIK]
Email : aduanpendidik@gmail.com