PAS SARAWAK MENYOKONG PENUH PRESIDEN DAN MAJLIS SYURA ‘ULAMAK
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak menyokong teguh pendirian dan langkah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam menangani hal ehwal politik semasa, khususnya dalam kemelut pencalonan Menteri Besar Selangor daripada Pakatan Rakyat.
PAS Sarawak tidak berbelah bagi terhadap kewibawaan dan kepimpinan Presiden dalam memberikan pandangan dan keputusan mewakili PAS terhadap isu tersebut. Ini selari dengan Perlembagaan PAS (Pindaan 2011):
1. Fasal 26(1)(a) Perlembagaan PAS – Tugas-Tugas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat – Presiden.
2. Fasal 26(9)(m) Perlembagaan PAS – Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja.
Berdasarkan tafsiran dan pendirian Majlis Syura ‘Ulamak (MSU) ini, yang disokong Dewan ‘Ulamak PAS Pusat, PAS Sarawak tidak nampak sebarang sebab untuk tidak bersama dengan pendirian dan tindakan Tuan Guru Dato’ Seri Presiden.
PAS Sarawak juga berdiri teguh dengan keputusan serta pendirian Majlis Syura ‘Ulamak (MSU) dalam menangani isu MB Selangor. PAS Sarawak menentang keras unsur-unsur yang cuba mengugat kredibiliti Presiden dan Majlis Syura ‘Ulamak (MSU) hingga boleh mendatangkan kecaman dan persepsi buruk di mata masyarakat umum.
PAS Sarawak menyeru ahli dan pimpinan di semua peringkat, khususnya di Sarawak untuk mendokong pendirian ini, dan menjauhi sebarang usaha dan seruan pihak lain yang cuba mencalarkan kredibiliti dan integriti Presiden Parti dan Majlis Syura ‘Ulamak (MSU).
PAS Sarawak merakamkan tahniah di atas ketegasan dan langkah bijak Tuan Guru Dato’ Seri Presiden, Majlis Syura ‘Ulamak (MSU) dan Dewan Ulamak PAS Pusat yang telah melaksanakan tanggungjawab yang besar dan penting untuk memandu seluruh ahli dan penyokong PAS berpegang teguh kepada dasar-dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
Sebarang usaha, tindakan atau keputusan yang bertentangan dengan pendirian Tuan Guru Dato’ Seri Presiden dalam isu ini, oleh mana-mana pihak perlu segera dihentikan.
Tuan Hj Adam Ahid,
Pesuruhjaya PAS Sarawak.
KENYATAAN MEDIA PAS SABAH
– Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah berdiri teguh dan menyokong penuh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atas keputusan beliau berkaitan perlantikan Menteri Besar Selangor. PAS Sabah tidak berbelah bagi terhadap kewibawaan dan kepimpinan Presiden dalam memberikan pandangan dan keputusan mewakili Parti Islam Se-Malaysia terhadap isu tersebut. Ini selari dengan Perlembagaan PAS (Pindaan 2011)
1. Fasal 26(1)(a) Perlembagaan PAS – Tugas-Tugas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat – Presiden.
2. Fasal 26(9)(m) Perlembagaan PAS – Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja.
PAS Sabah juga ingin memaklumkan bahawa, kami amat berbangga mempunyai seorang Presiden yang penuh dengan ketokohan dan ikhlas dalam menjalankan amanah kepimpinan selama menjadi Presiden PAS. PAS Sabah juga akan terus memberikan kerjasama dan dokongan terhadap apa juga pandangan dan keputusan Presiden selepas daripada ini.
Justeru, PAS Sabah berharap semua ahli dan kepimpinan PAS di semua peringkat agar terus mematuhi dan memberi dokongan penuh kepada Presiden.
‘RAHMAT UNTUK SEMUA’
USTAZ AWANG LAIMAN HJ IKIN
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah .





























