Teruskan Perjuangan Demi Kedaulatan Islam dan Kepentingan Rakyat

831

Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menyokong sepenuhnya keputusan dan pendirian Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hadi Awang menghantar 3 nama calon bagi mengisi jawatan Menteri Besar Selangor. Ini selaras dengan kehendak pihak istana yang meminta setiap pemimpin parti di dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk menghantar lebih daripada dua nama. PAS telah menjalankan tanggungjawabnya, dan biarlah Tuanku Sultan Selangor yang memilih MB yang terbaik.

Selain itu, harus diketahui bahawa PAS sangat komited dengan PR dan akan terus memperkukuhkan pakatan ini selagimana menguntungkan Islam dan rakyat. Sejarah membuktikan bahawa PAS tidak pernah khianat dengan perjanjian dan persahabatan. Sewajarnya rakan-rakan di dalam PR sentiasa mengamalkan toleransi dan kembali kepada perjuangan asal kita demi untuk keadilan dan kepentingan rakyat.

DMPNT bersetuju dengan kepimpinan yang sentiasa meletakkan kepentingan syariat Islam, serta menyeru agar para ahli dan penyokong dari setiap peringkat untuk sentiasa wala’ dan thiqah dengan keputusan parti. Bersabarlah dengan ujian ini. Jangan ditebuk bahtera perjuangan kerana kegopohan diri, kononnya demi untuk selamatkan parti. Perjuangan ini masih panjang. Islam takkan rugi tanpa kita, sebaiknya kita lah yang merana tanpa Islam.

Puan Safinah Jusoh
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu
05 September 2014.