Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu mengucapkan tahniah kepada Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang telah berjaya memimpin mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada hari ini.
Presiden PAS telah membuat keputusan terbaik, sekaligus membebaskan PAS daripada kemelut politik ekoran tindakan pihak yang ‘gelojoh’ dan ‘tergesa-gesa’ dalam menangani isu Menteri Besar Selangor yang telah menimbulkan rasa gelisah kepada rakyat di seluruh tanah air, khususnya warga Selangor.
Menyedari, sesungguhnya kepimpinan itu merupakan amanah terhadap Allah dan beban serta tanggungjawabnya begitu berat terhadap rakyat, maka apa sahaja keputusn yang diambil mestilah meletakkan syariah Islamiyah sebagai panduan.
Disamping kebijaksanaan berpolitik mencatur persekitaran semasa, maka alternatif yang dicadangkan oleh Tuan Guru Presiden telah dipersetujui oleh semua Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan sebulat suara.
Oleh itu, mewakili keluarga besar PAS, saya mengharapkan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyar dapat mengambil teladan dari krisis yang melanda dan menerima alternatif sebagaimana yang diputuskan dan dicadangkan oleh PAS.
Semoga ia akan dapat myelesaikan kemelut politik Selangor dengan segera, yang bukan hanya kelompok orang politik, bahkan rakyat umumnya juga, tidak mahu isu ini berpanjangan sehingga menyebabkan rasa ‘mual dan muak’ terhadap Pakatan Rakyat.
Rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat perlu ingat dan berwaspada, sesungguhnya musuh-musuh politik khususnya Umno dan Barisan Nasional sentiasa mengintai-intai peluang dan mengambil kesempatan ‘menangguk di air yang keruh’ serta tidak pernah akan berhenti berusaha untuk memecah belahkan kepimpinan Pakatan Rakyat.
Tindakan PAS mengekalkan empat orang wakil rakyatnya terus memimpin sebagai Exco kerajaan negeri Selangor adalah merupakan langkah yang tepat agar kesinambungan pemerintahan Pakatan Rakyat terus berjalan dan pertukaran kepimpinan pada masa akan datang berlangsung dengan ‘aman dan nyaman’.
Sebarang kepentingan politik peribadi yang melebihi kepentingan parti dan rakyat adalah musuh kepada ajaran Islam yang suci dan malapetaka kepada demokrasi, perlu diletakkan ‘noktah’ dan tidak tidak menjadi amalan kepada semua ahli politik pada zaman politik baru masakini.
PAS Terengganu juga tetap tegas dalam pendiriannya, menggesa agar PAS pusat mengambil tindakan tegas terhadap dua orang wakil rakyat (ADUN) PAS Selangor yang tidak sabar dan tergesa-gesa serta hilang pertimbangan, sehingga mendahului dan Presiden dan membelakangi kepimpinan serta seluruh ahli PAS, sanggup ‘meleburkan’ kepercayaan dan amanah yang diberikan.
Kami mencadangkan agar dua ADUn tersebut dipecat keahliannya dari parti, agar ia menjadi pengajaran pada masa akan dating, bahawa tarbiyah PAS tidak mengajar mana-mana ahli melakukan tindakan khianat dan sabotaj.
Apapun, sesungguhnya pergolakan yang berlaku, memberi pengajaran yang besar kepada seluruh ahli parti untuk muhasabah diri dan membuat penilaian bahawa, mana-mana ahli dan pemimpin yang tersasar daripada ‘akhlak berjamaah’, tidak layak diberi amanah dan dilantik menjadi pemimpin kepada ‘Harakah Islamiyah’ yang besar ini pada masa yang akan datang.
Kita mahu agar kepimpinan dalam PAS dapat disaring dan ditapis supaya sentiasa istiqamah, dengar dan taat dalam memikul agenda parti serta berdiri teguh bersama Presiden parti, dalam apa jua keadaan.
YB Ustaz Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu/
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
21 Syawal 1435H bersamaan 17 Ogos, 2014











